24 Januari 2011

Kritikan Pengerusi DAP bukti pembangkang bimbang - Zaid

UM - 24/1/11

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kritikan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) menunjukkan betapa pakatan pembangkang bimbang akan hilang sokongan rakyat terhadap mereka.

Ketua parti itu, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sebagai 'orang luar', Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak perlu menunjukkan keprihatinan beliau terhadap KITA sebaliknya perlu lebih memberi perhatian terhadap pakatan pembangkang yang semakin goyang itu.

"Saya ingin bertanya kepadanya, mengapa bimbang jika KITA tidak mendapat sokongan rakyat, kerana saya sebagai pengasas yang sepatutnya mempunyai perasaan seperti itu.

"Oleh itu, dapat difahami bahawa maksud tersirat di sebalik kenyataan Karpal ialah beliau risau jika sokongan terhadap pakatan pembangkang semakin terhakis. Mungkin juga mereka melihat KITA sebagai ancaman terbaru," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Persidangan Hak Asasi Manusia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang berkata, Zaid akan menempuh satu perjalanan yang sukar melalui KITA dalam mendapatkan sokongan rakyat setelah keluar daripada pakatan pembangkang.

Karpal berkata, Zaid perlu menerima realiti politik di mana bukan mudah untuknya bergerak secara bersendirian bagi membina dan mendapatkan sokongan rakyat ke atas parti barunya itu.

KITA diperkenalkan secara rasmi pada 19 Januari lalu. KITA pada asalnya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) namun Muktamar Agung Tahunan AKIM pada 15 Disember lalu menyaksikan pertukaran nama itu serta melantik Zaid sebagai ketuanya.

Dalam pada itu, Zaid memberitahu, beliau mula menjelajah Sabah untuk memperkenalkan parti yang ditubuhkannya itu di sana.

"Saya ke sana bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak tetapi lebih kepada untuk bertemu kawan-kawan lama sahaja.

"Dan pada masa sama, jika ada potensi untuk mengembangkan KITA di sana, saya akan gunakan peluang itu sebaik mungkin," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: