24 Januari 2011

'Cukuplah, janji PKR buat kami muak'

UM - 24/1/11


THEVADAS (tengah) menyerahkan borang 120 penduduk India Ladang Mayfield yang keluar PKR dan menyertai BN kepada Dr. Mohd. Rozi Yusof di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

TASEK GELUGOR 23 Jan. - Seramai 120 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terdiri daripada masyarakat India sekitar Ladang Mayfield, di sini bertindak keluar daripada parti itu hari ini dan menyertai MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Tindakan itu berikutan hilang kepercayaan mereka terhadap pemimpin PKR yang didakwa hanya pandai memberi janji-janji manis kononnya mahu memajukan penduduk di situ tetapi sehingga hari ini ia tidak ditunaikan.

Menurut S. Thevadas, 49, yang mewakili kumpulan itu, mereka tiada pilihan selain meninggalkan parti tersebut kerana kepimpinan PKR sudah dikuasai golongan yang hanya mementingkan kedudukan manakala golongan bawahan disisihkan.

''Ketika kempen pilihan raya umum Mac 2008, masyarakat India di sini dijanjikan kehidupan yang lebih baik tetapi keadaan kami tidak pernah berubah malah tiada seorang pun pemimpin mereka yang turun padang menjenguk kami.

''Cukuplah, kami sudah muak dengan janji-janji kosong PKR. Kami mula sedar BN sebenarnya yang lebih banyak membantu kami selama ini," katanya selepas menyerahkan borang menyertai BN kepada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Dr. Mohd. Rozi Yusof di sini, hari ini.

Thevadas berkata, walaupun Kerajaan DAP Pulau Pinang melantiknya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Negeri, ia tidak memberi apa-apa makna kerana tiada sebarang bentuk bantuan disalurkan khususnya kepada penduduk miskin di kawasan itu.

Seorang lagi bekas ahli PKR, S. Uvianeeswaaran, 25, dia berasa amat menyesal apabila menjadi antara individu yang membawa golongan belia di kawasan tersebut untuk menyertai PKR pada kempen pilihan raya umum lalu.

Katanya, ketika itu, pemimpin PKR sengaja menghasut serta mencetuskan rasa benci kepada kerajaan selain berjanji untuk membantu golongan belia India di kawasan tersebut.

''Sekarang baru saya sedar, mereka (PKR) hanya pandai berjanji. Sudah hampir tiga tahun berlalu, nasib kami langsung tidak dibela malah pemimpin-pemimpin BN pula yang sering datang dan menghulurkan pelbagai bantuan," tambanya.

Sementara itu, Dr. Mohd. Rozi berkata, borang tersebut akan diserahkan kepada Pengerusi BN negeri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebahagian besar daripada kumpulan terbabit akan menyertai MIC manakala selebihnya berminat untuk memasuki parti lain termasuk Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: