31 Januari 2011

Azmin lebih penting daripada segala-galanya

UM - 31/1/11

KULIM 30 Jan. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, beliau tidak hairan dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlekehkan tindakannya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana Ketua Pembangkang itu lebih mementingkan Azmin Ali daripada segala-galanya.

Menurutnya, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR seolah-olah terlalu 'istimewa' sehingga apa juga tindak-tanduknya yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan ahli dan pemimpin PKR, hanya dipandang sepi oleh Anwar.

''Kalau suatu hari nanti anaknya Nurul Izzah keluar parti sekalipun, Anwar tidak kisah kerana Azmin Ali lebih penting daripada segala-galanya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Gobalakrishnan mengulas kenyataan Anwar bahawa tindakan beliau keluar daripada PKR sememangnya sudah dijangka dan ia tidak memberi kesan kepada parti itu.

Menurut Anwar, tindakan Gobalakrishnan itu bukan sesuatu yang mengejutkan ekoran kritikan-kritikan kerasnya terhadap pemimpin tertinggi PKR kebelakangan ini.

Gobalakrishnan semalam mengumumkan keluar daripada PKR dan melepaskan semua jawatannya berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan gaya kepimpinan Anwar serta tindak-tanduk Azmin yang didakwanya semakin merosakkan parti itu.

Tindakan itu menjadikan beliau Ahli Parlimen keenam meninggalkan PKR selepas Datuk Seri Zahrain Mohamed (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Shamsuri (Bagan Serai), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).

Mengulas lanjut, Gobalakrishnan mendakwa, Azmin seolah-olah menjadi individu paling berkuasa dalam PKR kerana mampu mengatur segala strategi parti termasuk memilih 'konco-konconya' untuk memenangi pemilihan parti baru-baru ini.

Keadaan itu juga katanya, boleh dilihat di Selangor apabila Azmin memonopoli syarikat-syarikat milik kerajaan negeri apabila orang-orang yang rapat dengannya dilantik memegang jawatan-jawatan tertinggi di syarikat terbabit.

''Bukankah ini satu penyelewengan?. Orang dalam parti bercakap mengenai perkara-perkara ini dan membawanya kepada Anwar tetapi dia tidak buat apa-apa kerana Azmin adalah lebih penting daripada segala-galanya," jelasnya.

Gobalakrishnan juga mengingatkan Anwar bahawa masyarakat India tidak akan rela terus ditipu oleh gaya kepimpinannya yang hanya pandai beretorik mencetuskan semangat kebencian sehingga memecahbelahkan rakyat.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: