31 Januari 2011

Pakatan pembangkang tidak pernah sehaluan

UM - 31/1/11

KUANTAN 30 Jan. - Tindakan DAP yang tidak pernah bersetuju dengan agenda negara Islam yang dibawa oleh Pas dan sikap PKR yang mendiamkan diri berhubung isu itu membuktikan pakatan pembangkang tidak pernah sehaluan.

Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pahang, Datuk P. Elayppen berkata, tiga parti yang berpakat itu tidak berada di landasan sama kerana memiliki ideologi perjuangan berbeza.

"DAP dan Pas tidak pernah bersetuju mengenai agenda negara Islam yang cuba diwujudkan Pas.

"DAP pula menentang keras agenda itu manakala PKR pula tidak pernah membuat sebarang pendirian jelas berhubung isu itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan pada Konvensyen BN Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Elayppen menegaskan, ketidaksepakatan itu membuktikan gabungan pembangkang dibentuk untuk mencapai cita-cita politik semata-mata.

Menurut beliau, negara akan hancur sekiranya ia meletakkan masa depannya di tangan tiga parti berlainan yang mempunyai tiga agenda yang sangat berbeza.

"Mereka sedang menghadapi pelbagai konflik dan perebutan dalaman selepas pilihan raya umum lalu," katanya.

Oleh itu, tegasnya, inilah masanya untuk BN bergabung tenaga dan maju bagi menghadapi pembangkang yang lemah itu.

"Parti-parti yang lebih besar dalam BN hendaklah menghulurkan bantuan menyokong parti-parti kecil seperti abang yang membantu adik-adik supaya kita kekal sebagai sebuah keluarga yang kukuh," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, perubahan paling signifikan yang mempengaruhi senario politik negara adalah kemunculan media alternatif yang mempunyai pengaruh besar kepada pengundi muda.

"Kita tidak boleh menafikan laman web dan blog memberi pengaruh besar kepada tanggapan dan pandangan pengundi muda.

"Justeru apa saja kritikan atau pandangan perlu diterima dengan fikiran terbuka dan perubahan perlu dilakukan bagi menepis persepsi negatif segelintir rakyat," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: