31 Januari 2011

Pas tidak patuhi arahan SPR larang dirikan khemah

UM - 31/1/11


PONDOK panas yang didirikan oleh parti pembangkang berhampiran pusat pembuangan undi di Felda Cempelak, Labis, Johor, semalam.

LABIS 30 Jan. - Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang mana-mana parti mendirikan khemah semasa hari pembuangan undi tetapi Pas berdegil dan tidak menghiraukan larangan itu.

Pas mendirikan sebuah khemah di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Chemplak di sini sejak awal pagi ini.

Tindakan tersebut membuatkan para penyokong Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati dan berlaku sedikit ketegangan.

Keadaan dapat dikawal walaupun penyokong-penyokong Pas melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata mencerca dan menjerit-jerit terhadap penyokong BN.

Naib Ketua Bahagian UMNO Sri Gading, Mazlan Katiman, melahirkan rasa kesal dengan keadaan itu kerana Pas tidak mematuhi peraturan SPR.

Jelasnya, UMNO sudah beberapa kali membuat aduan terhadap SPR tetapi tiada sebarang tindakan dikenakan.

"Sepatutnya tidak ada sebarang khemah didirikan di kawasan mengundi. Kami sudah membuat aduan kepada SPR pada sebelah pagi dan petang tetapi tiada tindakan.

"Mujurlah penyokong BN tidak membuat perkara yang sama atau berbuat sesuatu yang tidak diingini," katanya kepada pemberita di sekolah tersebut, di sini hari ini.

Katanya, perbuatan itu jelas melanggar peraturan SPR dan sudah semestinya khemah tersebut dibuka atau dirobohkan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: