31 Januari 2011

TPM, isteri turut 'dikepung' bah

UM - 31/1/11

LABIS 30 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang meninjau ke beberapa pusat pembuangan undi hari ini turut terperangkap bersama pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamarul Ariffin di sini apabila kawasan itu terkepung oleh air banjir.

Banjir yang mencecah setinggi dua meter itu menyebabkan laluan kedua-dua arah iaitu ke Pekan Labis dan Felda Tenang ditenggelami air dan tidak boleh dilalui sebarang kenderaan.

Turut terperangkap bersama Timbalan Perdana Menteri dan isterinya di sekolah berkenaan ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau yang mengadakan sidang akhbar pukul 1.30 petang di sekolah itu hanya dapat beredar pukul 4.30 petang apabila mendapat bantuan dengan menaiki trak tentera.

Seperti penduduk lain, Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut mengharungi banjir untuk ke rumah kediaman sementara mereka di Taman Perling, di sini apabila rumah tersebut turut dinaiki air setinggi paras lutut.

Walaupun program mereka untuk menemui lebih ramai pengundi terbantut akibat banjir, namun Muhyiddin dan isteri tetap bersemangat menjalankan tugas mereka.

Dalam pada itu, tugas wartawan dan jurugambar yang membuat liputan hari pembuangan undi hari ini nyata terjejas akibat banjir yang melanda daerah ini.

Ada antara mereka yang 'terperangkap' di sesuatu kawasan sehingga berjam-jam apabila laluan terputus akibat laluan utama dinaiki air.

Lebih memeningkan wakil media, talian telefon dan Internet turut terganggu.Malah, kamera beberapa jurugambar rosak akibat dimasuki air.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: