9 Februari 2011

5 bidang TERAJU

BH - 9/2/11
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di Putrajaya, semalam.

Oleh Johari Ibrahim dan Magendran Rajagopal

Perkukuh, elak pertindihan pembangunan ekonomi Bumiputera

  • Keusahawanan dan penciptaan kekayaan
  • Pembiayaan
  • Pendidikan dan penggajian
  • Penilaian institusi dan instrumen polisi
  • Pengurusan pihak berkepentingan

PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkukuhkan ekonomi Bumiputera, semalam kerajaan melancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang bertanggungjawab menerajui, mengurus dan memacu penyertaan golongan itu menerusi inisiatif baru serta sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata TERAJU yang ditubuhkan di bawah Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) akan menumpukan lima bidang utama iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan; pembiayaan; pendidikan dan penggajian; penilaian institusi dan instrumen polisi dan pengurusan pihak berkepentingan (stakeholder).

Najib turut mengumumkan Husni Salleh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU.

Katanya, TERAJU akan beroperasi dalam empat aspek dan dimensi bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif itu.

Pertama, memastikan hasil dicapai dalam jangka waktu terdekat. Kedua, meningkatkan keberkesanan institusi termasuk mengkaji sama ada terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi pada masa ini dan melihat keberkesanan institusi itu serta segala program yang sedang dilaksanakan.

Ketiga, TERAJU akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti program baru supaya segala tindakan yang dilaksanakan dapat diselaraskan manakala keempat, menentukan penilaian dari segi hasil dan prestasi.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MTAB di pejabatnya, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata, inisiatif berkenaan akan dapat menyelaraskan usaha untuk menyenaraikan lebih banyak syarikat Bumiputera ke Bursa Malaysia menerusi sekretariat yang diletakkan di bawah TERAJU.

“Tahun ini, dijangka lima syarikat Bumiputera disenaraikan dan jumlah nilai modal pasaran akan meningkat lebih daripada RM1 bilion dan diharap digandakan kepada RM2 bilion pertengahan tahun depan,” katanya.

Pada 17 Januari lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek, dipe-tik berkata, empat daripada lima syarikat yang dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia itu ialah Ascendsys Sdn Bhd, Pelasari Corporation Sdn Bhd, Taiace Engineering Sdn Bhd dan FASK Capital Group Sdn Bhd.

Inisiatif meningkatkan ekuiti Bumiputera menerusi penyenaraian syarikat milik golongan itu di Bursa Malaysia adalah agenda Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2007.

Sehingga ini, SJJB sudah mengenal pasti 30 syarikat Bumiputera yang mempunyai kemampuan dan kebolehan dalam perniagaan masing-masing yang mana sebahagian besar sudah memenuhi kriteria penyenaraian yang ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti.

Najib berkata, bagi tujuan penyelarasan program yang lain, urusan SJJB akan dipindahkan kepada TERAJU tetapi jawatankuasa kerja SJJB akan kekal dipengerusikan Dr Awang Adek manakala Najib akan terus mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif bersama ahli jawatankuasa yang sama.

“TERAJU juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain termasuk dewan perniagaan, badan bukan kerajaan dan sebagainya supaya pelaksanaannya mirip kepada program transformasi GLC yang diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata, TERAJU akan mempunyai bajet operasinya sendiri tetapi pembiayaan program yang dilaksanakan melalui agensi tertentu. TERAJU juga akan mempunyai sasaran tertentu yang akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata, bagi menentukan penilaian inisiatif yang berkesan, TERAJU akan melengkapkan pangkalan datanya dan membuat pemantauan terhadap program yang dilaksanakan.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: