UM - 16/2/11
PEMBANGUNAN PKS merupakan komponen penting bagi Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan dan status negara maju menjelang 2020.
Menyedari pentingnya peranan PKS, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.) terus menggiatkan usaha membangunkan PKS negara melalui pelbagai program pembangunan. Sebagai agensi penyelaras pusat PKS, SME Corp. telah diberikan tanggungjawab untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan dasar, strategi serta program pembangunan PKS yang dikendalikan lebih daripada 15 buah kementerian dan 60 agensi kerajaan.
SME Corp. juga bertindak sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang berperanan menentukan hala tuju dan masa depan menerusi penggubalan dasar serta ketetapan cadangan pembangunan PKS.
Antara inisiatif utama MPPK termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) yang dirangka setiap tahun. Pelan ini mengenal pasti program utama untuk pembangunan PKS berdasarkan tiga teras strategik; iaitu memperkukuhkan infrastruktur yang menyokong, membina kapasiti dan keupayaan, dan mempertingkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS.
Selain menjalankan kajian yang berkaitan pembangunan PKS, SME Corp. juga berfungsi sebagai pusat rujukan setempat bagi PKS untuk mendapatkan maklumat mengenai program pembangunan serta bantuan yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan merentasi semua sektor ekonomi. Fungsi ini dijalankan di bawah kendalian One Referral Centre (ORC) yang beroperasi setiap hari bekerja dari 9.00 pagi ke 5.00 petang.
SME Corp. dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan telah melaksanakan Program Pembangunan Jenama PKS mulai pada 2009, bertujuan meningkatkan ketrampilan produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Antara inisiatif di bawah program ini adalah Tanda Keunggulan Kebangsaan Jenama Malaysia (National Mark), SME Corp. dengan kerjasama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM QAS) telah merangka program National Mark yang menonjolkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan syarikat Malaysia. National Mark bertujuan mengubah persepsi masyarakat tentang produk PKS berkualiti rendah serta diragui dan mempunyai standard pembungkusan yang rendah berbanding jenama-jenama terkenal.
National Mark dilancarkan pada 2 Mac 2009 melibatkan empat fasa iaitu:
- Bina upaya;
- Latihan dan penilaian;
- Persijilan dan anugerah; dan
- Promosi.
Di bawah Skim Pensijilan National Mark ini, syarikat dinilai menggunakan standard piawaian yang ketat dan sekiranya berjaya, produk dan perkhidmatan syarikat ini akan diberi hak penggunaan logo National Mark selama dua tahun. Untuk mengekalkan Pensijilan ini, penilaian tahunan akan dibuat bagi memastikan kepatuhan terhadap piawaian kualiti yang ditetapkan. SME Corp. telah melantik SIRIM QAS sebagai Badan Pensijilan rasmi. Bagi mendapatkan Pensijilan National Mark, syarikat dinilai berdasarkan kriteria berikut:
- Keupayaan & Komitmen Pengurusan
- Keupayaan Kewangan
- Pengurusan Jenama dan Pemasaran
- Pengurusan Operasi
- Kualiti dan Piawaian Produk / Perkhidmatan
- Pengurusan Amalan Terbaik
- Tanggungjawab Sosial
Skim ini terbuka kepada semua syarikat tetapi syarikat perlu memenuhi kriteria pra-syarat berikut:
l Perniagaan diperbadankan / didaftarkan di bawah:
Akta Syarikat 1965 (Akta 125);
Akta Pendaftaran Perniagaan 1965 (Akta 197); atau
Sijil Amalan daripada Badan-badan Profesional.
- Beroperasi di premis yang sah;
- Mendapat sekurang-kurangnya tiga bintang di bawah penilaian Program Penarafan Daya Saing PKS Untuk Peningkatan (SCORE) SME Corp.;
- Syarikat dalam mana-mana sektor, mendapat Persijilan ISO 9001 atau setara;
- Syarikat dalam sektor makanan memperoleh HACCP atau ISO 22000; atau
- Syarikat dalam rantaian pembekal automotif memiliki ISO/TS16949; atau
- Syarikat dalam sektor peralatan perubatan dengan ISO 13485; dan
- Mempunyai jenama yang berdaftar
Syarikat yang dianugerahkan dengan Pensijilan National Mark layak mendapat mendapat manfaat-manfaat berikut:
i) SME Corp. akan membiayai 50 peratus kos yang dikenakan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. bagi mendapatkan Pensijilan National Mark bagi PKS yang layak;
ii) Insentif pengiklanan dan pemasaran untuk PKS dalam masa dua tahun selepas mendapat Pensijilan National Mark;
iii) Memudahkan syarikat menyertai promosi perdagangan tempatan dan antarabangsa serta aktiviti-aktiviti pengiklanan dan promosi yang dianjurkan oleh MATRADE;
iv) Kemudahan khas menyertai Program Mentor MICCI-SME Corp. untuk memudahkan PKS menembusi pasaran global secara langsung atau menjadi pembekal kepada syarikat antarabangsa; dan
v) Jemputan menyertai latihan khusus yang dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia atau agensi lain yang berkaitan.
Sehingga kini, sebanyak 44 permohonan telah diterima dan 17 syarikat telah dianugerahkan dengan Pensijilan National Mark Brand, selebihnya masih dalam proses pengauditan.
Malaysia Brand bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya jenama bagi pengeluar dan pembekal perkhidmatan. Logo keunggulan ini akan memberikan kemampuan yang tiada bandingnya untuk mencipta dan membina jenama yang kuat untuk mendapat pengiktirafan dari pelanggan serta berupaya untuk mencapai ke pasaran serantau dan global.
Dalam menghadapi masa hadapan yang kompetitif, peruncit dan pengguna global hanya akan mempertimbangkan perniagaan dengan pembekal yang telah mendapat Tanda Keunggulan Jenama Malaysia. Jadi, inilah masanya bagi syarikat Malaysia untuk memenuhi cabaran masa depan dengan mengambil langkah berani, yang akan menjadikan jenama anda diiktiraf secara global!
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan