16 Februari 2011

Umat Islam perlu pertahan kuasa politik

UM - 16/2/11

JELI 15 Feb. - Umat Islam di negara ini perlu mempertahankan kuasa politik yang ada bagi memastikan syiar Islam dapat dikembangkan dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini terbukti dengan kuasa yang ada, kerajaan Barisan Nasional menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam di negara ini.

Jelasnya, kewujudan Tabung Haji dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) umpamanya, adalah untuk membela nasib umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu bersatu padu dan mempertahankan kuasa itu tanpa membiarkan mana-mana pihak memecah-belahkan perpaduan yang sedia wujud.

"Dengan kuasa yang ada, kerajaan mengadakan pelbagai kemudahan dan prasarana untuk umat Islam di negara ini dan kita boleh melihatnya sendiri.

"Ada orang kata kerajaan yang ada ini kerajaan jahiliah tetapi kerajaan jahiliah inilah yang buat Tabung Haji untuk memudahkan umat Islam melakukan ibadah, kita bina Bank Islam dan masjid," katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1432 Hijrah Jabatan dan Agensi Kerajaan dan Masyarakat Kelantan di Pusat Dakwah Jeli (Pondok Moden), di sini hari ini.

Majlis tersebut bermula pukul 10 pagi serta berakhir pada 4 petang dan antara pengisiannya adalah pembentangan kertas kerja oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Islam menganjurkan perpaduan dan bukannya melabelkan perkara buruk kepada pihak tertentu sehingga menghuru-harakan masyarakat.

"Perkara seperti ini tidak harus berlaku. Ini tujuan sambutan hari ini, kita elakkan prasangka dan benci membenci, kita harus bina perpaduan di kalangan umat Islam.

"Sebab itu, saya kata, ulama tidak maksum, tak boleh bongkak, harus terima kritikan dengan fikiran terbuka. Saya tak tuju pada sesiapa, saya tuju kepada ulama dalam Malaysia khususnya ulama politik Pas," katanya.

Beliau berkata, sekiranya UMNO memerintah Kelantan, usaha untuk memartabatkan Islam akan diteruskan dan ia sejajar dengan hasrat perjuangan parti itu.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: