13 Februari 2011

Orang besar, orang kecil...

UM - 13/2/11

PERBICARAAN kes Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan akan diteruskan esok. Persoalan pertama yang berlegar apakah perbicaraan itu akan ditangguhkan lagi?

Isu penangguhan demi penangguhan kes Anwar sudah menjadi bahan sinikal dan momokan.

Tindakan Anwar mengemukakan banyak permohonan penangguhan menimbulkan tanda tanya apakah beliau takut diadili. Jika yakin berada di pihak yang benar, mengapa perlu melewat-lewatkan perbicaraan.

Hampir 20 permohonan telah dikemukakan sejak pemimpin PKR itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.

Jika seorang pelajar mengambil pengajian peringkat diploma, tempoh lebih dua tahun setengah itu cukup untuk menamatkan pengajian. Itu belum menyentuh tentang kos dan pembaziran masa. Lebih daripada itu, Awang bersimpati dengan nasib Saiful. Strategi Anwar itu secara tidak langsung mahu menafikan hak pengadu. Sudah acap kali Awang menulis bahawa keadilan bukan semata-mata hak orang besar atau VIP seperti Anwar, ia juga hak rakyat kecil seperti Saiful. Awang tidak faham mengapa Anwar yang menggambarkan dirinya sebagai pemimpin politik yang hebat dan kononnya memperjuangkan keadilan dan demokrasi, bersikap sebaliknya dalam kes liwat beliau.

Ramai yang melihat tindakan Anwar sebagai mempersendakan keadilan. Selamilah tekanan yang terpaksa dilalui oleh Saiful. Bayangkan jika hal seumpama itu menimpa diri kita, anak-anak, anggota keluarga dan sanak saudara sendiri. Awang doakan agar Saiful dan keluarganya terus tabah menghadapi ujian ini. Percayalah yang hak pasti berdiri, yang batil pasti jatuh akhirnya. Apa pun, Awang tabik kecekalan Saiful. Aneh, ketika orang kecil berani tampil untuk diadili, orang besar pula cari jalan untuk ‘lari’...

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: