15 Februari 2011

Selepas setahun keluar PKR

UM - 15/2/11



Mukadimah

PADA 12 Januari 2010, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim muncul sebagai penggubal undang-undang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pertama keluar meninggalkan parti itu.

Mengakui tindakan itu membuatkannya berasa sangat keseorangan kerana pelbagai cemuhan diterima daripada pemerhati politik negara terutama pemimpin tertinggi PKR yang merupakan rakan-rakan rapatnya.

Terganggu dengan keadaan itu, Zahrain bertindak melupuskan akaun laman sosial Facebook miliknya beberapa hari selepas keluar PKR akibat kutukan pelbagai pihak yang turut mengheret nama baik keluarga serta perniagaannya.

“Alhamdulillah, selepas setahun keluar PKR, perasaan sepi, keseorangan serta ragu-ragu kini sudah hilang, tiada lagi kekecewaan dalam diri ini.

“Malah, saya gembira kerana semakin ramai ahli Parlimen PKR keluar parti dan saya yakin bilangannya akan bertambah,” ujarnya ketika memulakan bicara dengan wartawan Utusan

Malaysia, RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan jurugambar MOHD. NAIM AZIZ di Petaling Jaya, Khamislalu.

UTUSAN: Jika diimbas setahun lalu, tindakan Datuk meninggalkan PKR disifatkan sebagai proses ‘pembersihan’ parti oleh kepimpinan tertinggi PKR. Apa reaksi Datuk?

ZAHRAIN: Saya dah kata, apabila (bekas Timbalan Presiden PKR) Dr. Syed Hussain Ali cakap pembersihan daripada najis, kami sebenarnya bersyukur kerana kami keluar daripada parti yang boleh diibaratkan sebagai rumah penuh dengan najis.

Kini, semakin ramai keluar dari rumah najis itu, rumah yang penuh dengan tahi. Kita bukan membersihkan PKR, sebaliknya kita membersihkan diri kita. Sebab apa yang kita lakukan dalam PKR itu, kita anggap sebagai dosa yang telah kita lakukan dan sekarang ini adalah penebusan. Dia cakap perkara itu setahun lalu, tapi tengoklah berapa ramai Ahli Parlimen yang sudah keluar PKR.

Jadi, selepas setahun berlalu, apa yang saya katakan itu semakin terserlah. Di peringkat Ahli Parlimen PKR, kita tengok lima lagi telah keluar parti selepas saya. Dari segi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sama juga dan dari segi ketua bahagian, juga semakin ramai. Saya yakin dalam proses ini juga akan ada ribuan lagi keluar PKR dalam masa terdekat ini.

Sebagai contoh, kita tengok ketua PKR Sabah sudah keluar, begitu juga Ahli Parlimen dan ADUN. Ini bermakna ahli keluar PKR berlaku di semua peringkat keahlian. Hanya yang tak keluar, si presiden (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Timbalan Presiden (Azmin Ali). Yang ketua umum pula (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak tahu duduk dalam parti atau pun tak.

Selepas keluar daripada PKR dan sehingga kini Datuk dituduh sebagai pengkhianat yang keluar parti akibat kecewa kerana gagal mendapatkan projek dan sebagainya, apa yang ingin Datuk jawab?

Jawapan saya senang, rakyat Malaysia dan tidak keterlaluan jika dikatakan hampir seluruh dunia tidak akan lupa janji Anwar untuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008. Apakah itu? Itulah penipuan, membohong, menipu dan menyeleweng adalah kerja dan kepakaran mereka (PKR).

Mereka menyeleweng pemikiran rakyat, jadi rakyat sebenarnya sudah tertipu. Sebab sebelum PRU 2008, Anwar Ibrahim menonjolkan dirinya sebagai ‘penyelamat negara’ dengan harapan diberikan kepada rakyat untuk terima dia sebagai pemimpin tetapi sekarang ini nampak jelas berbohong. 16 September itu jelas, sebabnya bukan saja kami dalam PKR yang gembira mendengar pelan peralihan Anwar untuk mengambil alih kerajaan, malah semua penyokong dan pengundi PKR pun gembira.

Tetapi apabila 16 September tidak berlaku, itu sudah menunjukkan dia (Anwar) ini penipu dan orang yang menaruh harapan ini telah ditipu. Apa penjelasan Anwar dalam hal ini? Sampai sekarang tidak ada penjelasan. Semasa saya dedahkan di Parlimen mengenai pelan 16 September dan semasa saya mengumumkan keluar parti pun, itulah perkara pertama yang saya utarakan, ini bermakna saya konsisten.

Sampai hari ini, saya tidak dapat penjelasan daripada Anwar. Dia bertanggungjawab untuk menerangkan kepada penyokongnya dan rakyat Malaysia tentang apa sebenarnya yang berlaku pada 16 September. Kalau dia tidak boleh terangkan dan beri fakta yang ada, dia pembohonglah.

Majlis Tertinggi PKR pun saya percaya sampai sekarang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Anwar selalu mengatakan jangan risau, jangan risau, (pelan peralihan) 16 September akan berlaku tetapi tak berlaku juga. Jadi, saya lebih cerdik daripada Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebab saya awal-awal sudah tahu Anwar berbohong dan saya pun keluar.

Anwar kena terangkan, itu tanggungjawab dia sekiranya dia pemimpin berwibawa dan bertanggungjawab. Sebab dia kata, dia ada akuan bersumpah 30 Ahli Parlimen BN yang akan lompat parti, ini bukan dia kata kepada saya seorang tetapi kepada semua pemimpin tertinggi PKR. Dia juga sebut Yang di-Pertuan Agong sudah perkenan, malahan turut heret nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kononnya pasukan itu sedia mempertahankan beliau sekiranya apa-apa berlaku dalam pengambilan kuasa (16 September) itu. Itu semua kenyataan besar yang bukan main-main.

Jadi, apabila melihat penipuan 16 September itu, rakyat perlu menilai janji 100 hari atau Buku Jingga jika pakatan pembangkang memerintah negara. Apalah sangat menipu dalam Buku Jingga berbanding dengan penipuan Anwar yang menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM sebelum ini. Jika kita lihat, pakatan pembangkang kini telah lebih 800 hari memerintah empat negeri tetapi apa yang telah dilaksanakan mereka?

Malah masalah besar di Selangor, masalah besar di Pulau Pinang, Perak nasib baiklah. Ini semua masalah yang nyata. Kalau lebih 800 hari mereka gagal selesaikan apa yang dijanjikan pada 2008, apatah lagi jika hanya 100 hari? Bagi saya, Buku Jingga ini pun satu bentuk penipuan oleh Anwar dan PKR untuk menarik sokongan rakyat.

Datuk kata sudah sedar tentang penipuan dalam perjuangan PKR lebih setahun lalu, jika benar mengapa para pemimpin pembangkang lain masih setia bersama perjuangan Anwar?

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: