UM - 15/2/11
Hari ini seluruh umat Islam menyambut Maulidur Rasul. Pelbagai acara diadakan bagi menghayati pesanan-pesanan yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada ummah.
Pada masa yang sama, semalam ada dua acara yang disambut hampir serentak dengan Maulidur Rasul. Satu sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih dan satu lagi Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (World Interfaith Harmony Week).
Sungguhpun ada sedikit kontroversi mengenai sambutan Hari Kekasih itu berpunca daripada perbezaan fahaman agama tetapi ia tidak menimbulkan ketegangan.
Punca tidak berlaku ketegangan akibat perbezaan agama ini adalah kerana Malaysia tidak mengamalkan fahaman yang melampau.
Sebab itu masyarakat beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu atau lain-lain agama masih berkawan rapat sejak dahulu lagi tanpa masalah. Walaupun ada perselisihan akibat agama ia mampu diselesaikan segera.
Sering kali diperingatkan bahawa jika wujud kumpulan ekstrem agama di negara kita, maka ia boleh membawa padah buruk kepada negara dan manusia sejagat.
Syukur perkara buruk ini tidak berlaku di Malaysia. Sebagaimana dijelaskan oleh Perdana Menteri, punca ketegangan kaum di sesebuah negara bukan disebabkan oleh perbezaan agama tetapi fahaman dan pemikiran yang berbentuk ekstrem.
Malaysia telah menunjukkan perbezaan agama tidak semestinya membawa kepada permasalahan besar dalam sesebuah negara.
Hubungan sesama manusia yang terdiri daripada pelbagai suku, bangsa dan agama perlu saling kenal-mengenali antara satu sama lain untuk melahirkan perpaduan serta kerukunan hidup bermasyarakat.
Ketika zaman awal Islam, Rasulullah SAW telah menjalinkan hubungan baik dengan kaum-kaum Yahudi dan Nasrani serta mengadakan perjanjian dengan pemerintah-pemerintah bukan Islam.
Sungguhpun wujud perbezaan agama namun nilai-nilai persamaan yang wujud sudah mampu membawa kepada kehidupan yang aman dan harmoni.
Sekali lagi, perbezaan agama bukan menghalang masyarakat berbilang kaum untuk menjalankan program bersama seperti menangani isu dadah, mengurangkan jenayah atau pun alam sekitar.
Isu agama boleh diibarat seperti api, semasa kecil ia kawan, semasa besar ia lawan. Isu agama amat sensitif, jadi besar harapan Perdana Menteri supaya ia dibincangkan secara tertutup.
Kalau ia dilakukan secara terbuka, barangkali ia mudah disalah tafsir hingga boleh mencetuskan kesan buruk yang sukar dipulihkan.
Jadi, rakyat Malaysia perlu saling menghormati perbezaan kepercayaan agama kerana ia adalah ramuan bagi kehidupan yang harmoni.
Sesungguhnya ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW antara lainnya untuk membina jati diri yang kental, amanah, telus, menolak salah guna kuasa dan membenci rasuah.
Nilai-nilai Islam yang bersifat sejagat ini harus dijadikan pedoman oleh masyarakat ketika menjalankan amanah.
Sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu dikekalkan agar negara ini terus menikmati keamanan dan kestabilan.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan