15 Februari 2011

Anwar perlekeh usaha martabatkan industri batik Malaysia

UM - 15/2/11

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menghina batik Malaysia dalam satu syarahan umum di Indonesia pada 11 Oktober tahun lalu.

Kenyataan menghina batik Malaysia itu dikeluarkan ketika beliau menyampaian syarahan bertajuk Kebebasan dan Musuh-Musuhnya pada Festival Salihara 2010 di Komunitas Salihara, Jakarta Selatan.

Komunitas Salihara merupakan komuniti pencinta pelbagai cabang seni termasuklah bidang teater, muzik dan penulisan. Difahamkan syarahan Anwar itu hanya diikuti oleh lebih 100 hadirin.

Sesuai dengan syarahan yang bertemakan kebebasan. Maka pemimpin pembangkang tersebut menggunakan peluang kebebasan berkenaan untuk mengutuk batik Malaysia.

''Mahu pakai batik Indonesia, dikatakan saya ini anti-nasional. Mahu pakai batik Malaysia, orang Indonesia bilang jelek. Sebab ciri kesenian itu cukup rendah. Dan saya setuju. Tapi saya tidak mahu sebut di Malaysia. Jadi, saya akhirnya memilih batik Afrika. Maknanya, kebebasan memilih. Kebebasan memilih untuk mengelakkan tafsiran berbeza," katanya sambil disambut sorakan dan gelak ketawa hadirin.

Tindakan Ketua Pembangkang itu memang tidak mengejutkan dan menghairankan. Namun kali ini ia merosakkan industri batik negara yang menjadi perhatian dunia pada hari ini hasil inisiatif pelbagai pihak dan individu.

Industri batik juga menjadi sumber rezeki halal kepada ramai warga Malaysia melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang disediakan. Demi memartabatkan industri batik negara, kerajaan mewajibkan penjawat awam supaya memakai batik setiap hari Khamis. Malah pada majlis-majlis rasmi dan ketika persembahan kumpulan-kumpulan tertentu seperti kompang dan sebagainya, baju batik sering menjadi pilihan kerana ia adalah satu kebanggaan bagi masyarakat Malaysia.

Sejak 2003, Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood gigih dan aktif memperjuangkan kesenian batik di Malaysia. Sebelum itu industri dan imej batik Malaysia dilihat agak suram. Inisiatif Endon mendorong tertubuhnya Majlis Batik Dunia.

Idea untuk menubuhkan majlis tersebut dibangkitkan pada Pameran dan Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005. Ia mendapat sokongan dari 15 buah negara.

Majlis Batik Dunia dipengerusikan oleh Leela Mohd. Ali. Antara wakil Malaysia yang menganggotai majlis berkenaan ialah Tan Sri Lim Kok Wing. Anggota lain dalam majlis berkenaan ialah pencinta batik dari Amsterdam, Australia, Belgium, India dan Indonesia. Turut menganggotai majlis tersebut ialah aktivitis batik dari Jepun, Singapura, Sri Lanka, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dari inisiatif dan usaha tersebut, motif batik dipelbagaikan secara kreatif. Hari ini kita boleh melihat batik dalam bentuk lukisan, dijadikan corak pada tudung lampu, bingkai gambar, cadar katil, kasut, skaf dan pelbagai perhiasan.

Segala usaha dan inisiatif untuk mengangkat martabat batik negara tidak dihargai dan dipandang oleh Anwar demi mendapatkan sokongan pihak luar.

Apabila seorang pemimpin masyarakat Malaysia sendiri menghina khazanah negara bagaimana warga asing hendak menghargai atau memandang batik Malaysia secara positif?

Anwar nampaknya tidak menghargai para pekerja industri batik di Pantai Timur yang berkemungkinan mengundi pembangkang sebelum ini. Inikah balasan Anwar kepada mereka yang memberikan kepercayaan kepada pakatan pembangkang?

Blog Anak Mat Hijau membidas kenyataan dan tindakan Anwar itu dan mempersoalkan apakah corak batik Malaysia itu begitu hina.

''Hinakah mereka yang melakar batik menggunakan tangan untuk mencari sesuap nasi? Patutlah semakin ramai yang menghina Anwar kerana sifat dan sikapnya yang suka juga menghina orang lain. Maka penghinaan itu kembali terpalit ke mukanya," kata penulis blog tersebut.

Syarahan Anwar ketika menyampaikan syarahan tersebut merujuk kepada kebebasan. Antara petikan syarahan Ketua Pembangkang yang dilaporkan dalam portal Indonesia berbunyi, 'Tanpa nilai kebebasan, agama apa pun bakal sulit berkembang karena tidak dipeluk secara luas. Dengan prinsip kebebasan yang berangkat dari fitrah dan nilai agama, Anwar mendorong umat Islam memberikan rasa aman bagi pemeluk agama lain'.

Sebelum kehadiran Ketua Pembangkang itu, Komunitas Salihara pernah mengundang beberapa personaliti 'popular' untuk menyampaikan syarahan. Mereka semua dianggap sebagai tokoh Islam Liberal.

Salah seorang individu yang pernah dijemput bersyarah di Komunitas Salihara adalah Amina Wadud, seorang wanita Islam yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mengimamkan solat Jumaat di AS.

Amina dilaporkan menyampaikan syarahan mengenai feminin dan ketuhanan serta kualiti feminin dari Tuhan.

Seorang lagi tokoh yang dijemput untuk menyampaikan syarahan adalah Musdah Mulia, wanita yang mendapat anugerah di Barat kerana keberaniannya menghalalkan gay dan lesbian.

Berdasarkan maklumat tersebut, tidak hairanlah kenapa Anwar dijemput untuk memberikan syarahan kepada komuniti berkenaan. Peluang tersebut digunakan Anwar untuk memburukkan imej negara demi kepentingan sendiri.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: