UM - 15/2/11
JASIN 14 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) memerlukan sepenuhnya sokongan rakyat pelbagai kaum di negara ini bagi menggerakkan program pembangunan yang diatur.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelbagai program pembangunan yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu mendapat sokongan rakyat bagi memastikan masa depan negara lebih cemerlang pada masa depan.
``Kita tahu kerajaan hari ini sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan pelbagai program pembangunan dan disokong oleh rakyat demi masa depan negara yang cemerlang,'' katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Merlimau dan Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baru Cina di pekarangan sekolah tersebut di sini hari ini.
Kira-kira 2,000 orang dari pelbagai kaum dan peringkat umur memeriahkan majlis tersebut yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Menurut Muhyiddin, melalui sokongan rakyat dalam setiap program pembangunan yang diatur menjadikan kerajaan lebih bersemangat untuk memperkenalkan lebih program untuk dinikmati oleh rakyat.
Namun, katanya, kerajaan tetap yakin dengan sokongan padu rakyat khususnya masyarakat Cina pada hari ini yang dilihat sudah beralih kepada kepimpinan BN selepas melihat kepincangan pentadbiran oleh pihak pembangkang.
``Kita lihat masyarakat Cina sudah mula faham dan mengerti perancangan pihak pakatan pembangkang yang lebih banyak bergaduh dan tidak sepakat.
``Sekarang rakyat boleh membuat penilaian sendiri bagaimana dengan pakatan pembangkang ini berbanding BN dan sebab itu, mereka kembali menyokong BN,'' katanya.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat khususnya pengundi dalam kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Merlimau tidak terpengaruh dengan penipuan yang cuba dibawa oleh pihak pembangkang yang dilihat cuba memainkan isu kenaikan harga barang dan mempertikaikan tindakan kerajaan dalam mengatasi isu-isu yang ditimbulkan.
Hakikatnya, ujar beliau, berbanding negara lain, Malaysia satu-satunya negara yang bertindak mengawal harga barang utama demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan kenaikan harga yang berlaku.
"Malaysia sahaja berbanding negara dunia lain yang bertindak mengawal harga barang, cuba bandingkan dengan Singapura, India, Thailand dan China,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan