UM - 15/2/11
KUALA LUMPUR 14 Feb. – Keputusan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk hanya menarik balik cadangan menubuhkan polis bantuan jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menambah 2,000 anggota di negeri itu, diselar oleh pelbagai pihak.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, tuntutan yang dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu jelas menunjukkan ada agenda di sebaliknya.
Ini kerana tegasnya, keperluan penambahan anggota sentiasa dikaji dari semasa ke semasa oleh PDRM berdasarkan beberapa faktor seperti kepadatan penduduk dan jenayah.
``Bukannya boleh menambah anggota sesuka hati, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.
“Sepatutnya mereka berhubung rapat dengan PDRM kerana yang mempunyai kepakaran adalah pihak polis bukan mereka. Jangan kerana agenda sendiri, soal berkaitan keselamatan hendak dipolitikkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid memberitahu bahawa permohonan pasukan polis bantuan sendiri mungkin dibatalkan jika PDRM mampu menambah 2,000 lagi anggota di negeri itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah sebelum ini menyifatkan penubuhan pasukan polis bantuan itu sebagai tidak perlu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan turut berpendapat yang permintaan Abdul Khalid itu tidak kena pada tempatnya.
“Tuntutan yang dibuat juga tidak mengikut cara yang betul. Polis sendiri mempunyai cawangan yang menjalankan kajian dan perancangan diketuai pegawai kanan berpengalaman bagi menilai dari semasa ke semasa keperluan penambahan anggota bukan sahaja kerana peningkatan jenayah tetapi semua aspek.
“Pasukan polis bantuan sendiri yang diminta juga hanya akan mendatangkan pelbagai masalah di kemudian hari seperti dari segi latihan, penempatan dan tugas,” jelasnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan