KUALA LUMPUR 8 Mac - Pelaburan langsung asing (FDI) negara menunjukkan aliran masuk AS$9 bilion (RM27 bilion) bagi tahun lalu berbanding AS$1.4 bilion (RM4.2 bilion) pada 2009 iaitu peningkatan sebanyak 535.7 peratus.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia membuktikan dakwaan pembangkang bahawa pelabur asing tidak berminat melabur di Malaysia adalah meleset.
Menurutnya, jumlah yang dilabur oleh syarikat asing di negara ini pada tahun lalu menunjukkan keyakinan mereka dan juga rakyat semakin meningkat.
''Angka ini adalah lebih tinggi daripada yang diunjurkan oleh Global Investment Trends Monitor yang dikeluarkan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).
''Mengikut UNCTAD, negara-negara lain di Asia Tenggara dan Asia Timur telah mencatatkan peningkatan peratusan FDI yang lebih rendah, seperti Indonesia dengan kenaikan peratusan FDI sebanyak 162.7 peratus, Singapura (122.7 peratus), Thailand (14.2 peratus) dan China (6.3 peratus). India pula telah menunjukkan penurunan sebanyak 31.5 peratus.
''Sentimen keyakinan pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini juga dibuktikan dengan projek-projek yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Pada tahun lalu, MIDA meluluskan sebanyak 910 projek dalam sektor perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM47.2 bilion berbanding 766 projek dengan pelaburan bernilai RM32.6 bilion pada 2009," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Leong Jee Keen (PKR- Selayang) mengenai FDI masuk dan keluar pada 2010 dan daya saing Malaysia berbanding negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur untuk menarik FDI masuk.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, syarikat-syarikat tempatan juga melabur di luar negara terutamanya dalam sektor minyak dan gas, infrastruktur, kewangan serta telekomunikasi.
Pada tahun lalu, jelasnya, pelaburan syarikat tempatan di luar negara adalah sebanyak RM42.6 bilion dan perkembangan itu mencerminkan daya saing serta keupayaan mereka untuk menjadi peserta di peringkat antarabangsa.
''Bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, pelbagai langkah proaktif bagi merancakkan kemasukan FDI telah dilaksanakan termasuk memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mengandungi sistem pemantauan pertumbuhan ekonomi yang kukuh," katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berhubung dakwaan kerajaan DAP Pulau Pinang yang menyatakan kejayaan ekonomi dan FDI negeri itu adalah hasil usaha mereka, Mustapa berkata, ia merupakan dakwaan berunsur fitnah dan tidak tepat.
''Baru tiga tahun memerintah, mereka kredit (kata) macam-macam. Ini amat tidak tepat. Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) kata dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor lebih banyak (maju) berbanding negeri lain. Itu fitnah.
''Di Pulau Pinang dan Selangor segala infrastruktur yang dibangunkan sehingga menjadikan negeri berkenaan berdaya maju adalah hasil perjuangan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kita yang lalu. Saya harap rakyat faham perkara ini," tegas beliau.
/hwa: www.utusan.com.my | um - 9/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan