30 Mac 2011

Golongan peguam perlu tonjol imej profesional sebenar

PENGAMAL undang-undang atau lebih tepat lagi golongan peguam seharusnya memandang serius titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menasihatkan supaya mereka tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan.

Malahan baginda memberi peringatan yang tegas dengan bertitah para peguam tidak harus dengan cara tidak profesional menyusahkan pihak lawan.

Sememangnya titah baginda tepat pada waktunya apabila dalam kes-kes tertentu terutamanya berprofil tinggi, ada peguam yang sengaja berusaha melengah-lengahkan perbicaraan.

Pengetahuan dalam bidang undang-undang dipergunakan sepenuhnya bagi memberikan keyakinan kepada mahkamah untuk menangguhkan sesuatu kes.

Satu demi satu hujah yang mereka keluarkan sehinggakan ia memungkinkan wujudnya tafsiran berlakunya 'pendekatan berpolitik' dalam mahkamah.

Tindakan seumpama itu sudah tentulah akan memungkinkan keadilan yang ditunggu-tunggu sama ada oleh defendan mahupun plaintif akan tergendala.

Tetapi ada kalanya dalam kes-kes tertentu peguam sengaja berusaha melengah-lengahkan kes sedangkan tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti.

Sepatutnya mahkamah menjadi tempat bagi para peguam menegakkan kebenaran dan memastikan keadilan dapat dizahirkan, bukan diabaikan.

Oleh itu adalah wajar dalam situasi apa pun dan tidak kira siapa pun anak guam mereka, para peguam perlu memastikan perbicaraan dapat berjalan lancar dan sekali gus memberikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

Mahkamah bukanlah gelanggang untuk mereka berhujah politik atau mencari populariti tetapi medan bagi menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah.

Ketelusan, keadilan dan kebenaran seharusnya menjadi pegangan utama kepada mana-mana juga peguam. Dalam soal ini, para peguam tidak boleh mengamalkan 'double standard'. Jika kes melibatkan orang biasa, mereka mahu ia cepat diselesaikan tetapi apabila melibatkan kes profil tinggi maka segala kaedah perundangan digunakan bagi melengah-lengahkan perbicaraan.

Semua ini bukan sahaja akan menyebabkan berlaku kes-kes tertunggak di mahkamah malahan akan menyebabkan kos sesuatu perbicaraan itu meningkat.

Para peguam juga seharusnya faham seperti mana titah Raja Dr.Nazrin bahawa tingkah laku mereka turut diadili oleh masyarakat.

Rakyat biasa yang mengikuti sesuatu perbicaraan terutamanya yang mendapat perhatian negara sudah pasti mahukan sesuatu kes diselesaikan segera.

Mereka mahu mengetahui kesudahannya, tetapi sudah tentu mereka akan merasa muak dan lebih buruk lagi sangsi apabila melihat gelagat sesetengah peguam yang seolah-olah hendak memastikan sesuatu perbicaraan tertangguh dan terus ditangguhkan.

Oleh itu sudah tiba masanya, para peguam menerima pandangan Raja Dr.Nazrin Shah dengan fikiran terbuka dan menjadikan ia sebagai panduan untuk mereka benar-benar melaksanakan tugas guaman mereka dengan profesional.

/hwa: utusan.com.my | 30/3/11

Tiada ulasan: