30 Mac 2011

'Kit Siang perlu baca laporan GTP'

KUALA LANGAT: Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan rakyat diminta membandingkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan janji pembangkang dalam Buku Jingga yang jelas menunjukkan kejayaan dan pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penelitian dan maklum balas positif Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa terhadap GTP membuktikan pencapaian enam NKRA adalah fakta benar dan bukan sekadar angan-angan.

Ia juga bukti kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan setiap inisiatif yang digariskan menerusi agenda untuk terus membela nasib rakyat di semua peringkat dalam masyarakat.

"Saya cadangkan Kit Siang baca buku laporan GTP dan lihat satu persatu laporannya, bukan hanya tengok Buku Jingga (buku mengandungi janji pembangkang dalam tempoh 100 hari jika menang).

"Malam tadi (kelmarin) saya ada tengok manifesto pembangkang ketika pilihan raya umum lalu dan boleh dikatakan semua tidak tertunai lagi. Kalau yang mereka banggakan pun air percuma, namun bukan semua menikmatinya. Sekarang, mereka hendak buat macam-macam dalam tempoh 100 hari pula," katanya ketika lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang di sini semalam.

Dalam blognya, Kit Siang mendakwa laporan kejayaan GTP adalah tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.

Ketika lawatannya ke Ampang, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari pembangkang akan memesongkan fakta, tetapi yang penting untuk mereka melihat dan menilai laporan tahunan itu yang mengandungi pelbagai perkara.

/hwa: bharian.com.my | 30/3/11

Tiada ulasan: