29 Mac 2011

GTP Realisasi Gagasan 1Malaysia, Kata Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Orang ramai memberi sambutan positif terhadap Program Tranformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada April 2009, kerana ia merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) maklum balas daripada rakyat berpendapat GTP memperincikan setiap aspek kehidupan rakyat dan mengambil berat akan keperluan dan kehendak mereka.

Terdapat enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP iaitu pengangkutan awam bandar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mengurangkan kadar jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan dan memperkasakan pembangunan infrastruktur luar bandar.

Antara mereka yang mendapat faedah daripada GTP itu ialah seorang pemandu teksi, Rasamanickam Devan, 65, yang berpendapat kerajaan telah banyak melakukan perubahan seperti pendidikan.

"Anak perempuan saya sekarang seorang jurutera, ia adalah hasil daripada pinjaman pelajaran mudah yang disediakan oleh kerajaan.

"Saya rasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan usaha mempertingkatkan perkhidmatan awam dengan baik, malah kualiti kehidupan, ekonomi dan peluang pekerjaan turut dipertingkatkan," katanya.

Perdana Menteri telah melakukan yang terbaik dengan mewujudkan dasar-dasar yang memberi peluang kepada setiap orang untuk mencari pendapatan termasuk dirinya yang sebelum GTP diperkenalkan beliau tidak berpeluang bekerja sebagai pemandu teksi, kata Rasamanickam.

Seorang pelajar kolej swasta Nursyazwana Sadri berkata usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam adalah sesuatu yang harus diberi pujian terutamanya dengan mewujudkan tempat khas untuk golongan wanita dalam perkhidmatan bas dan keretapi.

"Pada saya, pendidikan telah mengalami perkembangan yang sangat hebat dan selain daripada pengangkutan awam, kemudahan institusi pendidikan awam juga telah banyak dipertingkat, kini dengan program kemahiran yang disediakan kerajaan, saya rasa setiap orang mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan meskipun dalam persekitaran yang semakin sengit," katanya.

Seorang pelajar Lee Jing Wen berkata beliau melihat banyak perubahan yang berlaku sejak GTP diperkenalkan dengan yang paling ketara ialah penurunan kadar jenayah.

"Secara keseluruhannya, kehidupan seharian orang ramai bertambah baik, kadar jenayah telah berkurangan dengan nyata, sudah agak lama saya tidak membaca berita mengenai kes rompakan atau jenayah ragut maka itu sekarang saya berasa lebih selamat berbanding dulu," katanya.

Sukarelawan di sebuah pusat perlindungan haiwan Sarah Kuppusamy berkata prestasi pasukan polis bertambah baik dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga merupakan langkah yang baik dan berada pada landasan yang tepat.

"Ya, betul! Keadaan sudah bertambah baik. Polis sekarang kerap membuat rondaan di semua kawasan, ia memberi imej yang baik untuk polis dan orang ramai pun semakin yakin dengan komitmen yang diberikan oleh polis.

"Saya mahu merasa selamat apabila menggunakan pengangkutan awam maka dengan kehadiran polis, saya tidak lagi merasa takut apabila menaiki keretapi atau bas," katanya.

Mengenai NKRA mengenai pendidikan pula, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta Jolynn Ng berkata pendidikan terutamanya di institusi pengajian tinggi telah melahirkan lebih ramai graduan berbanding dahulu.

"Kemunculan graduan baharu yang bersemangat dan berbakat adalah petanda baik bagi GTP, sektor pendidikan sentiasa diberikan tumpuan yang lebih dan tumpuan ini merupakan langkah terbaik bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.

"Selain pendidikan, kerajaan juga perlu membuat rancangan yang teliti bagi memastikan sasaran NKRA tercapai dalam mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam," katanya.

Ahli perniagaan Johnny Amman berkata orang ramai masih kabur tentang banyak bahagian dalam GTP dan kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih terperinci.

"Meskipun ramai yang tidak menyedari tentang GTP, namun secara keseluruhan, usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar jenayah telah menjadi bertambah baik.

"Memerangi jenayah dan rasuah adalah dua bidang yang menunjukkan banyak kemajuan. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 adalah langkah yang bijak dan sekarang saya melihat kehadiran pegawai polis di kawasan awam semakin bertambah sekarang," katanya.

Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga menyambut baik dan menyokong GTP dan berpendapat ia berjaya mengubah beberapa kementerian dan agensi kerajaan dan menangani aduan rakyat secara positif yang sebelum ini menjejaskan kehidupan seharian orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jani berkata banyak perkara telah dicapai dalam jangka masa pendek dalam GTP contohnya mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.

"Mendengar kejayaan dalam melahirkan usahawan baharu dan mengurangkan kemiskinan tegar adalah sesuatu yang amat menggembirakan dan mengurangkan kemiskinan menerusi keusahawanan adalah tepat sekali.

"Saya berani menyatakan bahawa sistem ekonomi liberal dan pasaran bebas adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan kemiskinan pada masa depan," katanya.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Henry Chin berkata pengurangan kadar jenayah di bawah NKRA merupakan satu perkembangan yang positif.

"Sesungguhnya menerusi usaha pihak polis yang bersepadu dan dengan komitmen mereka, maka kejayaan dalam usaha mengurangkan jenayah telah tercapai.

"Terdapat banyak program yang berjaya dijalankan polis dalam menjayakan GTP. Tiada kejayaan yang dapat dicapai secara bersendirian dan kejayaan NKRA adalah hasil daripada kerjasama polis, orang ramai dan NGO seperti MCPF," katanya.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata polis harus dipuji atas kejayaan mereka mengurangkan kadar jenayah jalanan kepada 35 peratus berbanding sasaran 20 peratus yang ditetapkan dan juga mengurangkan Indeks Jenayah kepada 15 peratus.

"Kaedah pendekatan NKRA telah memperlihatkan keberhasilan yang positif seperti yang ditunjukkan stastistik," katanya.

Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia Majid Sohot berkata infrastruktur asas luar bandar yang terdapat di penempatan Orang Asli di pinggir bandar sekarang adalah memuaskan dan memperlihatkan kemajuan yang baik.

"Banyak penempatan Orang Asli kini mendapat bekalan air paip bersih dan elektrik, perkara ini (kemudahan air dan elektrik) memberikan petanda bahawa lebih banyak penempatan di kawasan pedalaman akan mendapat kemudahan yang sama," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Loke Yim Peng berkata beberapa aspek dalam NKRA semakin bertambah maju dan telah menerima maklum balas yang positif.

"Antaranya ialah kejayaan dalam NKRA pendidikan iaitu Literasi dan Numerasi (Linus) yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Saya perhatikan Linus telah mendapat maklum balas yang baik darupada guru-guru dan ia banyak membantu kanak-kanak dalam membina tiga kemahiran asas - membaca, menulis dan mengira," katanya.

Bidang lain yang berjaya dalam NKRA pendidikan ialah fokus kepada pendidikan pra-sekolah memandangkan kerajaan telah mewujudkan lebih peluang untuk menubuhkan lebih banyak pra-sekolah supaya kanak-kanak di luar bandar juga memperoleh asas pendidikan yang kukuh, katanya.

Loke berkata penekanan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah oleh kerajaan juga telah membantu mengurangkan beban kerja guru.

Presiden Transparency International Malaysia Datul Paul Low berkata dengan bantuan sekretariat Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan NKRA, GTP terus mencatatkan kemajuan yang positif.

"Cabaran NKRA adalah bagaimana untuk mencapai sasaran dalam membuat pembaharuan proses politik, membawa perubahan dalam pembiayaan kewangan dan bagaimana parti politik dibiayai selain membanteras apa yang dipanggil "rasuah bebas"," katanya.

/hwa: bernama.com.my | 29/3/11

Tiada ulasan: