29 Mac 2011

Zuhari letak jawatan pegawai pilihan raya PKR Kelantan

PASIR PUTEH: Pegawai Khas Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Zuhari Che Mat meletak jawatan serta-merta kerana tidak puas hati dengan parti itu yang didakwanya lebih suka menjadi 'tali barut'kepada PAS.

Beliau yang jug a seorang ahli perniagaan berkata surat perletakan jawatannya sudah dihantar kepada Pengarah jentera pilihan raya PKR Kelantan semalam.

"Sepanjang saya menyertai parti itu sejak dua tahun lalu saya dapati parti berkenaan hanya menjadi pak turut kepada parti PAS dengan mengetepikan prinsip perjuangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata PKR sendiri pula tidak mempunyai perjuangan yang jelas untuk membela nasib bangsa dan pucuk pimpinan tertinggi pula tidak mempunyai fikiran terbuka serta gagal menyelesaikan kemelut yang timbul walaupun perkara remeh-temeh.

Katanya sebagai contoh daripada empat kuota pelantikan anggota Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) untuk PKR, satu daripadanya diberi kepada orang luar daripada kawasan Pasir Puteh. "Jadi bagaimana individu terbabit boleh menyelesaikan masalah rakyat di Pasir Puteh sedangkan beliau tidak tahu apa-apa kehendak dan masalah rakyat
setempat," katanya.

/hwa: bharian.com.my | bernama - 29/3/11

Tiada ulasan: