26 Jun 2011

Hanya kemenangan bawa erti


Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian perwakilan pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di Kuala Lumpur, semalam. Turut mengiringi beliau ialah Ketua UMNO Bahagian Selayang, Abdul Shukur Idrus. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 25 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, yang paling penting bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti politik adalah untuk berjaya dalam pilihan raya kerana menurutnya dalam politik hanya kemenangan membawa erti.

Justeru, Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu berkata, dalam pilihan raya tidak ada istilah naib johan, seperti mana dalam sesuatu pertandingan biasa yang turut menyediakan hadiah untuk naib johan.

"Untuk pilihan raya hanya johan sahajalah yang ada erti dan makna bagi kita. Dan kita semua sedar bahawa menjadi naib johan bererti kita kalah dalam waktu pilihan raya.

"(Dan) kita tahu nasib parti yang kalah," kata Najib ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di Perangsang Templer Golf Club di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, yang penting dalam keadaan dan landskap politik hari ini adalah untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran kerana kalau menggunakan cara dan kaedah lama "kita boleh menang perang lama, perang baru tidak tentu lagi".

Menurut Perdana Menteri, sebagai parti politik dalam dunia demokrasi berparlimen, tidak ada parti di negara ini yang lebih cemerlang daripada UMNO dan BN dari segi kejayaan yang telah dicipta.

Namun, katanya, UMNO dan BN sedar bahawa kehebatan masa silam tidak akan menjamin kelangsungan kuasa pada masa akan datang.

Ini kerana, menurut beliau, landskap politik negara, persekitaran dan pemikiran masyarakat sudah banyak berubah berbanding masa-masa lalu dan menurutnya antara faktor membawa perubahan itu adalah ledakan revolusi maklumat dan tahap pendidikan semakin tinggi.

"Kita tidak boleh berbangga dengan kegemilangan sejarah. Bila berdepan dengan ancaman kita tidak boleh kaku, tidak mahu melakukan pembaharuan dan pembugaran, dan (jika) takut pada perubahan, orang lain akan menguasai kita sebab orang lain melakukan perubahan (tapi) kita tak lakukan perubahan. Kita tak boleh berbangga dengan simbol dan imej sahaja tetapi pengisiannya kurang," katanya.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri meminta anggota parti mewujudkan satu perikatan baru iaitu menjalin hubungan dan ikatan dengan pelbagai peringkat dan golongan masyarakat di kawasan masing-masing, bagi memastikan sokongan rakyat kepada parti.

"Satu perikatan baru di mana kita menjalin hubungan yang begitu baik dengan pelbagai golongan dalam kawasan sendiri. Kita mesti ada ikatan dengan orang miskin, golongan pertengahan, penjaja, peniaga, PIBG, badan belia, pertubuhan serta kalangan Melayu dan bukan Melayu. Merekalah yang akan tentukan sama ada UMNO menang dalam pilihan raya ataupun (tidak)," katanya.

/hwa: utusan.com.my | BERNAMA - 26/6/11

Tiada ulasan: