6 Julai 2011

Titah Khas Yang Di-Pertuan Agong Satu Peringatan Terakhir

KAJANG, 4 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan haram pada 9 Julai ini merupakan peringatan terakhir kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan titah Tuanku Mizan jelas menunjukkan betapa seriusnya perkara itu kerana ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian serta imej negara di peringkat antarabangsa.

Jelas beliau lagi perkembangan dan agenda perhimpunan itu, yang tidak sihat sehingga menjadi bahan berita antarabangsa, tidak menyenangkan Yang di-Pertuan Agong sehingga Seri Paduka terpaksa mengeluarkan titah khas bagi menyedarkan rakyat.

“Ini menunjukkan bahawa perkara ini serius. Saya berharap agar rakyat dapat melihatnya secara serius kerana tak mungkin Tuanku bertitah begitu rupa, (begitu juga) Raja-Raja kita yang lain selain ingatan-ingatan daripada pihak berkuasa,” katanya selepas merasmikan bangunan ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan melancarkan Skuad 1Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah menyeru rakyat negara ini tidak terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan semua pihak.

Seri Paduka bertitah bahawa sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun perlu menyelesaikan permasalahan yang timbul secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Hishammuddin berkata titah khas Tuanku Mizan itu tepat pada masanya ketika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan sendiri terus memujuk dan menghasut orang ramai agar menyertai perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan itu.

Sultan dan Raja-Raja Melayu juga diberi taklimat berhubung kait dengan aktivi gabungan NGO itu yang cuba memporak-perandakan kestabilan negara ,katanya.

Hishammuddin berkata polis sedia menghadapi anasir subversif dengan kaedah tersendiri termasuk menahan mereka yang terlibat di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih seriusberlaku.

/hwa: umno-online.c0m | 6/7/11

Tiada ulasan: