6 Julai 2011

Bersih Agenda Pihak Luar Untuk Hancurkan Kerajaan – Prof Shamsul Amri


KUALA LUMPUR, 5 Julai – Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin melihat tindakan pihak tertentu yang menggunakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sesuatu yang mempunyai agenda lain di sebaliknya dan bukanlah untuk niat yang jujur dan telus demi pilihan raya.

Katanya, kumpulan terbabit didalangi oleh pihak tertentu yang didominasi oleh golongan pembangkang biarpun mereka kononnya mahu melaksanakan atas tuntutan NGO tetapi ia telah didoktrin dari anasir-anasir luar untuk melihat huru-hara dalam negara.

“Salah satu kejayaan yang dicapai oleh pihak terbabit dalam usaha untuk mewujudkan huru-hara dan kekacauan adalah sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah, Tunisia, Mesir dan Libya dan penularan demonstrasi ini dirancang oleh pihak yang bertanggungjawab dari luar sementara yang menggerakkannya telah dipergunakan,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Kata beliau, ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengambil alih pentadbiran maka beliau telah menegaskan bahawa di bawah kepimpinannya tidak mahu menyerang negara-negara lain sebaliknya menggalakkan cara demokrasi digunakan yang merangkumi jaringan sosial dalam pengaplikasiannya.

“Negara barat menumpukan perhatian terhadap ahli-ahli Parlimen dan belia yang bermasalah di seluruh dunia termasuklah di Malaysia juga dan mereka ini telah diberikan layanan termasuk diundang sama ada ke kedutaan atau berkunjung ke negara mereka untuk dilatih dan ditanamkan fahaman-fahaman yang boleh memporak-perandakan negara.

“Saya berkata demikian kerana mempunyai bukti dan sememangnya ada terdapat di kalangan pemimpin terbabit yang berbuat demikian,” katanya yang enggan mendedahkan nama pihak terbabit.

Ujarnya lagi, kelompok terbabit telah diberi pendedahan bagaimana untuk mengorganisasikan ‘civil society’ yang sebagaimana telah terbukti dalam masyarakat di negara ini.

“Pihak terbabit yang dianggotai oleh pembangkang telah menggunakan kesempatan atas alasan Bersih sedangkan ini sebenarnya adalah lanjutan dari gerakan yang diatur oleh pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Inilah sikap pembangkang yang tidak fikir secara rasional sebaliknya hanya mencari kesalahan orang lain kerana apa yang penting bagi mereka adalah ‘perut sendiri’.”

Terang beliau lagi, istilah Bersih yang diwujudkan oleh golongan terbabit adalah tidak tepat kerana mereka mengandaikan bahawa kerajaan kotor sedangkan kekotoran ada di mana-mana.

“Mereka menamakan Bersih seolah-olah mereka adalah itu ‘bersih’ sedangkan apa yang mahu mereka perjuangkan juga adalah tidak bersih. Banyak kekotoran yang dilakukan oleh golongan pembangkang sama ada Ketua pembangkangnya bersama PKR, Pas dan Dap,” tambahnya.

hwa: umno-online.com | MediaUMNO - 6/7/11

Tiada ulasan: