29 Julai 2011

Ramadan dan tazkirah politik

RAMADAN kali ini dijangka disambut pada 1 Ogos. Pada tarikh itu seluruh umat Islam akan mula menjalani ibadat puasa dan ketika itu masjid, surau dan madrasah menjadi tumpuan untuk menggandakan ibadat termasuk mengerjakan solat jemaah sunat tarawih.

Ketika masjid menjadi tumpuan, ada pihak turut menggunakan peluang itu mengadakan tazkirah politik dengan mengambil beberapa potong ayat al-Quran bagi menyelitkan mesej bersesuaian dengan kehendak mereka. Suasana ibadat diselangselikan dengan kupasan politik, termasuk mengasak minda jemaah dengan pelbagai sedutan sinis sehingga mengelirukan umum.

Seharusnya bulan penuh keberkatan ini, tidak diadunkan dengan kepentingan politik. Seharusnya, bulan yang digandakan dengan kelebihan pahala beribadat tidak dikotori dengan pengembangan ideologi dan kepentingan peribadi pemimpin meskipun atas alasan bertemu kariah.

Puasa sepanjang Ramadan sebagai latihan mempersiapkan diri untuk memahami bahawa pembersihan jiwa dan rohani adalah hakikat kehidupan. Pembersihan ini akan membangunkan rasa kasih sayang, kesabaran, murah hati, ikhlas, bercakap benar, mengawal tingkah laku dan kata-kata.

Secara dalaman, berpuasa ini dapat melatih jiwa yang tenang dan menghargai orang lain, termasuk golongan miskin. Pemaparan pelbagai bentuk kesusahan, kegetiran hidup golongan yang kurang bernasib baik mampu menggerakkan jiwa simpati orang Islam untuk meyakini diri sendiri, syukur dengan rezeki diperoleh dan menghindari sikap tamak haloba.

Sepanjang Ramadan juga gangguan dalam bentuk tarikan negatif seperti dengki khianat dan rasa riak diri dapat dikekang kerana anasir yang menggoda seakan dirantaikan aktivitinya. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada kejahatan, pembohongan dan khianat akan berlaku.

Nafsu lapar manusia akan mudah terpengaruh dengan lambakan makanan di pasar Ramadan. Ketika inilah sikap tidak boleh mengawal nafsu menyebabkan sebahagian besar umat Islam berbelanja lebih. Mereka berhabis, berhutang dan mempertontonkan lagak dengan pakaian serba baru, peralatan rumah,kuih-muih beraneka sehingga menyebabkan peniaga memasangi tarikan melariskan barangan mereka.

Dari aspek kesihatan, berpuasa merehatkan alat pengisar semulajadi dalam tubuh daripada memproses makanan sebagaimana dialaminya pada bulan lain. Dengan berpuasa selama 12 jam setiap hari, proses pencernaan berhenti seketika untuk berehat. Dengan mengamalkan ibadat puasa, organ dalam tubuh mempunyai masa menjadi lebih teratur dan berkesan untuk melakukan tindakan pencernaan.

Ramadan juga dikatakan berbentuk syahrul ibadah (bulan ibadah), nilai ibadat yang sangat tinggi. Bulan syahrul fath pula bermakna bulan kemenangan, iaitu berjaya mengekang nafsu dan -keinginan tertentu.

Sebagai bulan petunjuk, wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW telah membawa obor agama yang sukar untuk dipertikaikan. Sebagai "Syahrul Huda" (bulan petunjuk), sebagai kalam Allah, al-Quran bukan sahaja terpelihara sebagai bahan simpanan. Al-Quran menjadi petunjuk dari era kehidupan dan berinteraksi dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pada bulan Ramadan, disebabkan banyak dosa akan dihapuskan oleh Allah SWT, dosa antara manusia dengan Sang Pencipta, bulan ini turut dikenali sebagai "Syahrul Ghufran" (bulan penuh pengampunan). Pada bulan ini, dipermudahkan pintu pengampunan dan pembebasan dari api neraka.

Al-Quran diturunkan pada Ramadan juga sebagai isyarat bahawa kita dianjurkan lebih banyak membaca dan mempelajarinya dengan harapan mendapat petunjuk. Pada bulan ini orang yang berpuasa telah menyiapkan wadah hatinya yang sudah disucikan melalui puasa untuk menerima petunjuk Ilahi. Kerana itu, setiap ayat yang diturunkan mempunyai nuzulnya. Antara tujuan nuzul al-Quran ialah:

1. Membersihkan akal dan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan Tuhan.

2. Mengajarkan kemanusiaan yang adil dan beradab yakni umat manusia seharusnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas kekhalifahan.

3. Untuk menciptakan persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kehidupan dunia dan akhirat, ilmu, iman, dan rasio, kebenaran, keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, sosial, politik dan ekonomi, dan kesemuanya berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.

4. Mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara melalui musyawarah.

5. Membasmi kemiskinan material dan spiritual, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup, serta pemerasaan manusia atas manusia, dalam bidang sosial, ekonomi politik dan agama.

6. Memadukan kebenaran dan keadilan dengan rahmat dan kasih sayang dengan menjadikan keadilan sosial sebagai landasan kehidupan masyarakat.

7. Memberi jalan tengah antara falsafah monopoli kapitalisme dengan falsafah kolektif komunisme, menciptakan ummatan wasathan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

8. Menekankan peranan ilmu dan teknologi, bagi menciptakan satu peradaban yang sesuai dengan jati diri manusia, dengan panduan Nur Ilahi.

Dari hakikat inilah umat Islam harus kembali menghayati al-Quran. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 bermaksud, "Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? "Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati sentiasa tertutup untuknya.

Hati yang tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah Al-Araf ayat 179 yang bermaksud:": Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat".

/hwa: utusan.com.my | 29/7/11

Tiada ulasan: