1 Ogos 2011

Pembangkang bagai ada tak kena'

KUALA LUMPUR 31 Julai - Tindakan pemimpin Pas membelakangkan Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memujuk Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai gabungan itu menunjukkan bagai ada yang tidak kena dalam pakatan tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh berkata, sewajarnya Pas menjelaskan punca sebenar pemimpin mereka berbuat demikian bagi membolehkan rakyat menilai keutuhan gabungan itu.

Katanya, adalah tidak mustahil tindakan Pas itu didorong oleh keyakinan mereka bahawa Anwar akan disabitkan dengan pertuduhan yang dihadapinya lalu mula mencari jalan selamat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kita pun mahu tahu juga kenapa perkara ini dirahsiakan daripada Anwar? Apakah (Presiden DAP) Karpal Singh dan (Timbalan Presiden Pas) Mat Sabu yang sememangnya tahu kegiatan Anwar sudah menjangkakan sesuatu?

"Justeru, Pas perlu menjelaskan rasional tindakan mereka itu. Tengku Razaleigh juga mungkin perlu tampil untuk menjelaskan kedudukan sebenar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed kelmarin mengenai pelawaan pembangkang kepada Tengku Razaleigh itu.

Menurut Zahrain, beliau percaya tindakan itu merupakan persediaan pembangkang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 di mana mereka memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber bagi menggantikan Anwar sekiranya Penasihat Umum PKR itu dipenjarakan.

/hwa: utusan.com.my | 1/8/11

Tiada ulasan: