15 September 2011

UMNO kesal pembangkang guna sejarah kelirukan rakyat

KUALA LUMPUR 14 Sept. – UMNO kesal dengan tindak-tanduk pembangkang yang sanggup menggunakan fakta sejarah tanah air untuk mengaburi mata dan mengelirukan pemikiran masyarakat demi kepentingan politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun UMNO sudah memahami tindak-tanduk pembangkang itu, ia seharusnya tidak berlaku kerana akan memberi kesan kepada rakyat.

“Mereka ini bukan sahaja guna sejarah, tetapi turut guna pelbagai kaedah untuk kelirukan rakyat. Dahulu mereka (Pas) kata UMNO tidak boleh bekerjasama dengan parti Cina kerana haram.

“Sudah banyak fakta yang dikelirukan, tetapi kebenaran akan mengatasi kebatilan. Lihat pada hari ini mereka pula bekerjasama dengan DAP,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Luar yang juga Menteri Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam di sini, hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menghina pejuang kemerdekaan negara apabila menganggap komunis yang menyerang anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Mohd. Shafie berkata, apa yang penting kini adalah rakyat perlu mengetahui fakta yang sebenar serta menolak segala tindak-tanduk pembangkang itu.

“UMNO tidak hairan dengan apa yang dilakukan Mohamad tetapi kita tidak boleh biarkan perkara ini kerana ia boleh memudaratkan masyarakat. Mereka boleh lakukan apa sahaja dan tidak mustahil perkara lebih teruk boleh dilakukan pada masa depan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Shanmugam, Mohd. Shafie berkata, pendidikan dan pembangunan luar bandar adalah dua perkara yang menjadi tumpuan bagi pihaknya menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Singapura.

Katanya, pada pertemuan itu kerajaan Singapura menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya melihat cara Majlis Amanah Rakyat berfungsi.

/hwa: utusan.com.my | 15/9/11

Tiada ulasan: