15 November 2011

Geduut ungguli Kejohanan Cabaran 4X4 Terengganu Starhill


SEBAHAGIAN daripada peserta Kejohanan Cabaran 4X4 Terengganu Starhill di Bukit Keluang, Besut, kelmarin.

BESUT 14 Nov. – Pasukan Geduut yang mewakili tuan rumah, mengungguli Kejohanan Cabaran 4X4 Terengganu Starhill kali ke-8 dalam kejohanan yang berakhir di kawasan Bukit Keluang dekat sini, semalam.

Pasukan itu yang diwakili oleh pasangan Wan Mahadi Wan Hassan dan Wan Nazmi Wan Najib yang muncul juara merangkul hadiah wang tunai RM5,000 setelah menamatkan kejohanan tiga hari itu dengan mengumpulkan 576 mata.

Pasangan Tan Eng Joo dan Tan Choon Hong yang mewakili Johor pula berjaya mengumpulkan 569 mata, meletakkan mereka di tempat kedua dengan memenangi hadiah wang tunai RM4,000.

Tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000 dimenangi oleh gabungan pasangan Vincent Koh dari Kuala Lumpur dan Denis Stepanento dari Rusia setelah memperoleh 531 mata.

Sebanyak 70 pasukan menyertai kejohanan sukan lasak itu dengan menawarkan hadiah berjumlah RM25,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said telah merasmikan kejohanan tersebut yang bakal dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri tahun depan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Ibrahim Mohamad menutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sementara itu, Presiden Kelab Geduut 4X4, Mohd Sani Mohd Jahal berkata, kejohanan itu sebagai persiapan kepada peserta kejohanan lasak itu untuk menghadapi kejohanan Terengganu Rainforest Challenge (RFC) yang akan diadakan bulan depan.

Katanya, kehadiran pasukan dari China dan Rusia menambahkan kemeriahan dan cabaran kejohanan tersebut yang terletak berhampiran dengan kawasan pelancongan iaitu Pantai Bukit Keluang dan Pantai Dendong

“Dengan persetujuan kerajaan negeri untuk membesarkan kejohanan ini menjadi acara peringkat kebangsaan tahun depan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 diharap akan menarik lebih ramai penyertaan peserta luar negara,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 15/11/11

Tiada ulasan: