16 November 2011

JKM sediakan 5,156 pusat pemindahan banjir


Muhyiddin Yassin hadir mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir (MKN) di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 15 Nov. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebanyak 5,156 buah pusat pemindahan yang boleh menampung seramai 1.4 juta mangsa banjir di seluruh negara sebagai menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Munyiddin Yassin berkata, persediaan pada tahun ini lebih rapi berbanding tahun lepas apabila Depot Bekalan Keperluan Bencana juga diwujudkan di lima wilayah serta 477 pangkalan hadapan.

Beliau berkata, sejumlah 28,000 anggota daripada agensi-agensi berkaitan tidak termasuk anggota polis dan tentera telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dari segi aset darat, air dan udara.

Menurut Muhyiddin, JKM di setiap negeri juga telah dibekalkan dengan stok-stok bekalan makanan bagi tempoh tiga hari dan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan sebagai persediaan memberi perkhidmatan kepada mangsa-mangsa banjir.

''Semua agensi telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dari segi kekuatan anggota serta persediaan aset darat, air dan udara. Aset-aset seperti bot penyelamat, trak, kenderaan pacuan empat roda, helikopter, pam air serta set janakuasa elektrik diletakkan di tempat-tempat strategik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan kerajaan dalam menghadapi musim tengkujuh di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Sebanyak 2,459 buah sekolah di 120 buah daerah akan digunakan sebagai penempatan sementara mangsa banjir.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebanyak 96 buah sekolah rendah dan 414 buah sekolah menengah membabitkan 201,543 pelajar diletakkan sebagai sekolah berisiko dilanda banjir.

Lembaga Peperiksaan Malaysia juga akan memindahkan dewan-dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke tingkat satu jika berlaku banjir.

Kata Muhyiddin, Jabatan Meteorologi melaporkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menerima lebihan hujan di antara 20 hingga 40 peratus berbanding biasa pada tahun lepas antara bulan November hingga Mac tahun depan.

''Berdasarkan ramalan ini dan sekiranya intensi hujan yang tinggi berlaku dalam masa singkat, serta ditambah pula dengan keadaan air pasang, maka situasi banjir akan menjadi lebih buruk.

''Antara negeri yang dijangka menerima hujan yang tinggi ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Sabah. Fenomena air pasang besar pula diramal pada 25 Disember dan 23 Januari tahun depan," katanya

Arahan turut dikeluarkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyelenggara sungai dan longkang supaya tidak tersumbat terutamanya di kawasan yang berisiko banjir.

Beliau berkata, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta media elektronik swasta diminta menyediakan kapsul maklumat bencana bagi menyampaikan maklumat mengenai ramalan cuaca dan amaran awal dari semasa ke semasa.

Muhyiddin turut menasihati orang ramai agar tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berpindah dan ibu bapa juga disaran supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak masing-masing dengan melarang mereka daripada bermain air banjir.

Kata beliau, keprihatinan juga perlu diambil terhadap keselamatan warga rumah-rumah kebajikan, warga tua, wanita mengandung serta orang kelainan upaya yang mungkin memerlukan bantuan untuk pemindahan.

Beliau kemudian melancarkan portal banjir MKN sebagai portal maklumat terpusat mengenai situasi banjir bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat melalui http://portalbanjir.mkn.gov.my.

/hwa: utusan.com.my | 16/11/11

Tiada ulasan: