KUALA LUMPUR 3 Jan. - Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),
Datuk Noh Gadot menasihatkan orang ramai supaya berpandukan kepada empat
ciri yang ditetapkan dalam surah Al-Asr sebelum melakukan sesuatu
tindakan termasuk menyertai perhimpunan haram.
Empat ciri berkenaan kata beliau, pertama, sebelum berbuat apa-apa
tanya iman terlebih dahulu, boleh atau tidak ia dilakukan dan kedua,
mengerjakan amal soleh yang mana ia mesti sesuatu perkara yang baik dan
tidak merugikan semua orang.
Ciri ketiga pula jelas Noh ialah berpesan dan menasihati kepada yang
hak serta kebenaran bermaksud mengambil pandangan majoriti masyarakat
secara keseluruhannya.
''Keempat, berpesan dengan kesabaran yang mana tindakan kita tidak
boleh mengikut hawa nafsu, perasaan, kepentingan individu dan politik
sempit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas isu perhimpunan haram yang akan menyusahkan rakyat dan menimbulkan huru-hara kepada negara di sini hari ini.
Menurut Noh, adalah jelas keempat-empat ciri tersebut tidak terdapat dalam perhimpunan haram.
''Oleh itu, umat Islam perlu tolak perkara yang berlawanan dengan
al-Quran dan hadis. Mereka juga perlu mengikut undang-undang sedia ada.
"Nasihat saya bertindaklah mengikut iman, budaya yang betul kerana ia
bukan budaya Islam dan Melayu yang hanya menunjukkan tidak bertamadun
serta mengikut perasaan, jangan terjebak kerana Allah SWT melihat
segala-galanya," jelas beliau.
Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata,
sekiranya sesuatu tindakan yang akan mengganggu orang lain, mewujudkan
pergaduhan dan merosakkan harta-benda, ia tidak wajar dilakukan.
"Kita tidak boleh melakukan tindakan seperti perhimpunan yang akan
menimbulkan huru-hara kepada negara dan orang lain. Selain itu, perlu
melihat dari segi tujuan perhimpunan dibuat dan sama ada ia mengikuti
undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 4/1/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan