3 Januari 2012

Apa pendirian Pas?

PADA 9 Julai lalu, apabila berlakunya perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, Pas merupakan kelompok terbesar menghantar penyokongnya. Malahan beberapa pemimpin utama parti turut serta biar pun ia adalah satu perhimpunan yang dianggap melanggar undang-undang.
Bagaimanapun apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) baru-baru ini bagi membanteras gejala murtad, Pas 'senyap dan sunyi', yang hadir hanyalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali.
Beliau pergi atas kapasiti peribadi sebagai pemimpin Islam bukan mewakili Pas.
Kini Pas menjadi tumpuan lagi apabila kesetiaan mereka sebagai sekutu pembangkang akan dituntut pada 9 Januari ini dalam kempen 'Bebaskan Anwar 901'.
Kita tidak pasti apakah pendirian Pas dalam kempen tersebut? Apakah Pas akan mengerahkan penyokongnya atau menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri.
Tetapi hakikatnya golongan pro-Anwar di dalam Pas tidak akan duduk diam, mereka pasti akan mendesak supaya pucuk pimpinan parti membuat kenyataan agar penyokong parti itu turun menyokong Anwar. Sememangnya semua orang tahu siapa lebih berpengaruh di dalam Pas sejak parti itu dikatakan dikuasai oleh puak Anwarinas.
Bagaimanapun Pas perlu berhati-hati dalam tindakannya, ini kerana himpunan haram yang dicadangkan pada 9 Januari ini bukanlah sebarangan.
Tersilap langkah Pas boleh dituduh 'bersubahat' menghina institusi kehakiman negara. Tak apalah jika sebelum ini Pas hendak menjadi 'pak turut' apabila bersedia mengerahkan 'bala tenteranya' turun ke jalanan.
Tetapi isu 9 Januari ini melibatkan keputusan mahkamah. Oleh itu, pemimpin Pas tidak harus terpengaruh dengan ketidakmatangan sesetengah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melancarkan kempen Bebas Anwar 901.
Pas sendiri sudah menyaksikan bagaimana perjalanan perbicaraan berlangsung dan di kalangan pemimpin Pas sendiri dikatakan bosan apabila Anwar berpuluh-puluh kali memohon penangguhan.
Namun mahkamah tetap membenarkannya, kalau mahkamah tidak adil sudah lama permohonan Anwar akan ditolak.
Bagaimanapun semua itu tidak berlaku, mahkamah memberi peluang seadil-adilnya untuk membela diri. Beliau bukan sahaja dibantu oleh barisan peguam yang hebat belaka, malahan Anwar juga dibenarkan membawa saksi dan pakar daripada luar negara bagi memberi keterangan.
Oleh itu, Anwar telah menjalani perbicaraan yang adil dan Pas tentu mengakui perkara, justeru kalau Pas terlibat dalam kempen Bebas Anwar 901 maknanya mereka tidak menghormati institusi kehakiman.
Pas perlu ingat kempen yang dilancarkan menggunakan istilah 'Bebas Anwar' dan bukannya 'Sokong Anwar', kalau sekadar 'sokong' tidak mengapa kerana Pas sememangnya kawan baik PKR dan DAP tetapi kenapakah awal-awal lagi lancar kempen 'bebas Anwar' sedangkan keputusan masih belum diketahui?
Penggunaan istilah 'bebas Anwar' ini boleh ditafsirkan seolah-olah bagi penyokong Anwar terutamanya daripada PKR, tidak kira apa pun hujahnya pada 9 Januari ini harus ada satu sahaja keputusan iaitu Anwar mesti dibebaskan!
Soalnya apakah Pas begitu yakin bahawa Anwar tidak bersalah sehingga bersedia untuk turun ke jalanan bagi 'membebaskan' beliau. Sepatutnya Pas menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Anwar bukannya sedang berada di penjara tetapi berada di luar penjara, beliau bebas ke mana sahaja hatta ke luar negara sekali pun biar pun sedang berhadapan dengan kes serius di mahkamah, pasport beliau tidak ditahan.
Justeru Pas janganlah mudah diperbodohkan dengan mainan politik PKR yang pada masa ini bermati-matian mahu memperjuangkan Anwar kerana itulah matlamat sebenar penubuhan parti itu.
Percayalah PKR amat bergantung kepada Pas untuk turun ke jalanan, mereka tidak boleh berharap kepada DAP yang sudah pasti tidak akan membiarkan penyokongnya dikejar oleh polis atau terkena semburan air.
Cuba lihat apa yang berlaku pada himpunan haram Bersih yang lalu, demonstrasi tersebut tidak akan berlaku jika penyokong Pas tidak turun tetapi apa yang Pas dapat?
Pas hanya dimaki-hamun oleh warga kota kerana telah menyusahkan mereka, mengaku parti memperjuangkan Islam tetapi perangai tidak melambangkan peribadi Islam sebenar.
Oleh itu Pas perlu berhati-hati dalam penglibatannya dalam kempen 'Bebas Anwar 901', janganlah mengikut nafsu politik dan janganlah terlalu yakin bahawa isu Anwar ini akan membantu pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Percayalah senario sudah berubah, Anwar kini dilihat bukan sahaja liabiliti kepada pembangkang tetapi juga negara kerana beliau sanggup memburuk-burukkan tanah air sendiri demi dendam politiknya. Jadi adakah Pas akan bersekongkol dengan orang seumpama ini?
Tidakkah kerana adanya Anwar, pemimpin-pemimpin Pas yang jauh lebih baik budi pekerti dan akhlaknya dipinggirkan serta seolah-olah tidak dihormati hatta oleh sesetengah pengikut Pas sendiri.
Apakah Anwar begitu hebat sehingga DAP berkata, kalau Anwar dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya.
Semua keadaan ini jelaslah menunjukkan Pas dan pemimpinnya hanya menjadi alat kepada PKR dan DAP untuk menang dalam pilihan raya, tidak lebih daripada itu.
Kalau mereka menghormati Pas sudah pasti, mereka akan berhati-hati dalam membuat kenyataan seumpama itu.
Sebab itulah Pas janganlah terus membiarkan diri diperalatkan semata-mata untuk memperjuangkan nasib Anwar. Apa yang lebih penting memikirkan sejauh manakah perjuangan mereka dalam soal berkenaan akan menguntungkan Pas.
Rakyat sekarang sudah bijak, mereka sudah tahu hendak menilai apakah dalam kes Anwar ini satu konspirasi atau sememangnya ia realiti, apa pun mereka menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Berdasarkan kepada keadaan itu, Pas janganlah teruja sangat hendak membela Anwar sehingga sanggup bersedia mengerahkan penyokongnya menyertai kempen Bebas Anwar 901.
Sebenarnya kempen itu tidak ada apa-apa pun kesan politik kepada negara kerana satu kaji selidik menunjukkan bahawa isu Anwar bukanlah lagi satu isu politik bertaraf nasional yang perlu diberi perhatian.
Sebaliknya, ia dianggap isu peribadi yang perlu diselesaikan oleh Anwar sendirian dan bukannya cuba menyeret rakyat apatah lagi mencetus huru-hara.
''Kita jangan layan kempen tu kerana memang itulah tujuan Anwar hendak mengembar-gemburkan situasi seolah-olah akan berlaku sesuatu yang buruk pada 9 Januari ini,'' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis.
Menulis penyokong Pas berkenaan, di dalam parti itu sendiri sudah wujud sentimen agar usah dilayan kempen bebas Anwar tersebut.
Jadi Pas kenalah berhati-hati apatah lagi dalam keadaan parti itu dilihat semakin tidak konsisten dalam perjuangan dan dilihat hanya menjadi 'pak turut' semata-mata.
Dalam keadaan apa sekali pun sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan pada 9 Januari, Pas tetap rugi kerana PKR dan DAP tidak akan memberi apa-apa keistimewaan kepada Pas apatah lagi untuk menjadi parti dan pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

/hwa: utusan.com.my | 3/1/12

Tiada ulasan: