KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari
ini memberi amaran kepada mereka yang dianggapnya cuba 'bermain api'
dengan cuba memurtadkan orang Melayu, termasuk orang kelainan upaya
(OKU) di negeri ini.
Beliau mengingatkan pihak itu supaya menghormati umat Islam dengan
menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan
dikhuatiri akan turut mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Ahmad menyifatkan gerakan tersebut sebagai serius dan perlu diberi
perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama
Terengganu (JHEAT).
"Saya harap perkara ini diberi perhatian serius oleh JHEAT dan
mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama
masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak
berwajib
"Kita kena hormati orang Islam kerana ini negara Islam. Perkara ini
adalah isu yang sensitif. Ini soal yang serius. Jangan cuba bermain
api," ujarnya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengunjungi seorang kanak-kanak,
Iman Adam Raman, 8, di Kampung Kebor Besar dekat sini yang lumpuh
setelah menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di Kampung Kubang
Jela, Manir pada 2 Mei lalu.
Ahmad mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak
tertentu yang kini bergerak aktif dalam misi memurtadkan orang Melayu di
negeri ini termasuk OKU.
Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu
berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk
memperdaya para pesakit yang 'sebatang kara' selain mat-mat rempit dan
golongan tidak berkemampuan.
Mohd. Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan
tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi
bertambah serius.
Ahmad bagaimanapun menjelaskan, pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai soal itu.
Jelasnya, berbeza dengan pendakwah Islam yang berdakwah secara
menyampaikan ceramah, gerakan terbabit lebih licik dengan menabur
bantuan bagi keperluan mereka yang terdesak.
/hwa: utusan.com.my | 3/1/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan