SHAH ALAM 15 Jan. - Malaysia boleh hancur jika jatuh ke tangan
pembangkang kerana pemimpinnya sering mengutarakan kenyataan dan
cadangan yang mengabaikan sensitiviti rakyat jika mereka memerintah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keadaan itu boleh
berlaku jika merujuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual dan mahu ia
disemak semula serta usul bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga
agar perasuah kecil diampunkan.
Ahmad berkata, kedua-dua perkara itu boleh memusnahkan negara jika dilaksanakan.
"Apa yang dilakukan Anwar dan Ambiga memang tidak bertanggungjawab.
Anwar lupakah Malaysia negara Islam dan 60 peratus rakyatnya beragama
Islam? Jika Anwar mahu membuat kenyataan seperti itu buatlah untuk
negara Barat, bukan negara ini.
"Ambiga pula mana boleh bezakan rasuah kecil dan besar kerana rasuah
itu tetap rasuah tidak kira berapa nilainya. Pada saya kedua-dua
kenyataan dan cadangan ini jika dilaksanakan akan membawa Malaysia ke
arah kehancuran," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar dalam satu wawancara
dengan BBC Asia pada Khamis lalu dan usul Ambiga semasa berucap pada
Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar, Kedah.
Dalam wawancaranya dengan BBC Asia, Anwar menyatakan agar sebahagian
daripada undang-undang lapuk negara disemak semula ketika ditanya
berkaitan golongan gay di negara ini, sementara Ambiga pula mengusulkan
agar perasuah kecil diampunkan jika pakatan pembangkang memerintah.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua
Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN) ditemui selepas
menghadiri Majlis Empat Peringkat Penerangan BN negeri di Bangunan UMNO
Selangor di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus dan ketua-ketua penerangan parti komponen BN.
Dalam pada itu, Ahmad mahu jentera penerangan BN bekerja lebih keras bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Sekarang jentera penerangan perlu masuk 'gear' lima dalam
melaksanakan kerja-kerja penerangan bagi memastikan kemenangan BN,"
katanya.
/hwa: ut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan