|
|
KUALA LUMPUR 17 Jan. – Umat Islam yang menolak hukum agama yang
melarang amalan hubungan sejenis seperti yang diperjuangkan kumpulan
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap melakukan
jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam atau murtad.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot berkata,
ini kerana tindakan itu jika dilakukan dengan akal yang waras sama
seperti menghina dan merendahkan hukum Allah SWT.
‘‘Amalan sejenis LGBT ini adalah sesuatu yang keji, kotor, jijik dan dilarang serta ditegah oleh Islam.
‘‘Sesiapa juga yang menghalalkan hukum ini sama ada melalui al-Quran
dan hadis juga ijma’ ulama perlu bertaubat nasuha dan kembali mengucap
dua kalimah syahadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada percubaan beberapa
pihak yang mahu menghalalkan hubungan sejenis di negara ini termasuk
dengan menekan undang-undang negara yang meletakkan hubungan itu sebagai
kesalahan jenayah.
Ia termasuk Majlis Peguam yang menolak hubungan sesama jenis yang
dilakukan secara suka sama suka antara orang dewasa suatu jenayah sekali
gus tidak harus dibawa ke mahkamah.
Selain Majlis Peguam, hubungan sejenis itu turut mendapat sokongan
Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) yang
mendesak kerajaan menghalalkan aktiviti LGBT dengan meminda
undang-undang sedia ada kononnya bagi memastikan perundangan negara
seiring dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut Nooh, selain pengamal hubungan sejenis, individu yang
cenderung kepada kefahaman itu serta mereka yang bersahabat,
bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan itu juga
dianggap melakukan jenayah akidah.
Ia kata beliau, termasuk mereka yang memberi laluan atau mengeluarkan
bantuan kewangan kepada kumpulan yang menyokong kebebasan seksual itu.
‘‘Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah SWT menerusi
surah Hud ayat 113 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada
orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api
neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun
yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu)
kamu tidak akan mendapat pertolongan’,” katanya.
Katanya lagi, kefahaman yang menghalalkan hubungan sejenis juga telah
membuang hukum berhubung perkahwinan yang antaranya rukun nikahnya
ialah perkahwinan antara lelaki dan perempuan.
Justeru tambah beliau, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah
SWT serta Rasulullah SAW itu bermakna telah menolak al-Quran dan sunah
sekali gus tergolong dalam kumpulan yang sesat dengan kesesatan yang
nyata.
Dalam pandangan serupa, bekas Fellow Pusat Syariah, Undang-Undang dan
Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan
Mohd. Saludin menilai, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengenai undang-undang homoseksual negara itu bermotifkan
politik iaitu mengharapkan sokongan daripada kumpulan yang berfikiran
sekular serta liberal.
Anwar juga kata beliau, cuba menonjolkan kepada masyarakat dunia
terutamanya Barat bahawa beliau boleh bersifat terbuka dalam perjuangan
hak asasi manusia termasuk dalam soal hubungan sejenis meskipun perkara
itu jelas ditolak oleh semua agama.
“Di negara ini kenyataan seperti itu mungkin boleh memberikan
kelebihan politik daripada sekumpulan kecil kelompok masyarakat, tetapi
bagi mereka yang waras ia adalah satu kenyataan yang melampau,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera
Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, undang-undang
mengenai homoseksual tidak sepatutnya dipertikai kerana perbuatan itu
ditegah oleh semua agama.
Sambil menyifatkan hubungan sejenis itu merupakan kesalahan yang
diketahui meskipun oleh kanak-kanak, beliau berkata, orang dewasa yang
menyokong perbuatan itu boleh dianggap terkeluar daripada Islam kerana
menolak hukum Allah.
“Justeru saya menasihati umat Islam di negara ini agar tidak
menunjukkan sokongan kepada gerakan yang cuba menghalalkan hubungan
sejenis termasuk memilih pemimpin yang cenderung menyokong aktiviti
seperti itu,” katanya.
/hwa: utusan.com.my | 18/01/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan