20 Mac 2012

Anwar takut rahsia terbongkar

KUALA LUMPUR 18 Mac - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak penyertaan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dalam satu forum yang membincangkan senario politik global di England hari ini, hanya menunjukkan beliau takut rahsianya didedahkan di pentas antarabangsa.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bimbang maklumat yang dimiliki Raja Petra boleh menyebabkan forum anjuran WikiLeaks tersebut tidak akan memihak kepada beliau.
"Memang itu perangai sebenar Anwar. Beliau suka mencari publisiti murahan dan hanya berminat dengan laporan media yang menyebelahi kepentingan peribadinya sahaja.
"Kita dapat melihat sendiri tuntutan kebebasan media yang dilaungkan Anwar selama ini hanyalah retorik untuk mencari sokongan semata-mata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan portal berita Free Malaysia Today semalam, berhubung dakwaan Raja Petra bahawa penggugurannya daripada senarai ahli panel forum anjuran WikiLeaks di Kent, England dibuat atas permintaan Anwar.
Raja Petra turut menganggap Anwar sebagai pengecut kerana enggan bersemuka dengannya dan mendakwa Anwar mungkin mengambil tindakan itu sebab bimbang perbincangan pada forum berkenaan akan membangkitkan isu politik semasa di negara ini.
Difahamkan, Anwar dijadual menyertai forum tersebut menerusi komunikasi Skype bersama pengasas WikiLeaks, Julian Assange hari ini dan perbincangan itu akan dirakam untuk dokumentari laman web WikiLeaks.
Sementara itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, tindakan Anwar itu hanya menunjukkan beliau tidak mahu bersemuka dengan Raja Petra yang sering berbeza pendapat dengannya.
"Anwar menolak penyertaan Raja Petra dalam forum tersebut kerana tidak mahu segala pembohongan beliau didedahkan di peringkat antarabangsa," jelasnya.
Menurut Muhammad Zahid, permintaan yang dikemukakan Anwar terhadap WikiLeaks membuktikan beliau sebenarnya ingin mengawal hala tuju forum berkenaan dan isu-isu yang dibincangkan tanpa dibidas oleh Raja Petra.

/hwa: utusan.com.my | 19/3/12

Tiada ulasan: