20 Mac 2012

Kemelut Karpal-Ramasamy belum berakhir

PULAU PINANG 18 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak keputusan Jawatankuasa Disiplin parti itu yang membebaskan Timbalan Setiausaha Agung parti, Dr. P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II daripada tuduhan melanggar disiplin parti.
Menurut beliau, jawatankuasa itu tidak layak membuat keputusan tersebut kerana Ramasamy juga adalah salah seorang daripada ahli panel yang sama.
Katanya, ahli jawatankuasa disiplin parti sepatutnya berundur daripada kes itu dan membiarkan jawatankuasa baru ditubuhkan bagi mendengar kes berkenaan.
"Benih pemusnahan telah pun disemai sejak dari awal. Mereka duduk dan membuat keputusan terhadap salah seorang daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Ramasamy, tiga yang lain dalam jawatankuasa tersebut ialah Setiausaha Agung, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang; Naib Pengerusi Kebangsaan, Tan Kok Wai dan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng.
Dalam pada itu kata Karpal, dua pemimpin DAP Pulau Pinang, RSN Rayer dan A. Tanasekharan juga telah memfailkan rayuan bagi pihak 33 yang lain terhadap keputusan jawatankuasa yang membebaskan Ramasamy.
Katanya, perkara itu mungkin dibincangkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP tidak lama lagi dan jika perlu, ia akan dibawa ke kongres parti tersebut untuk dibuat keputusan.
"Malah dalam mana-mana mahkamah pun, ia tidak boleh diterima. Ia tidak sepatutnya dilakukan dan tidak seharusnya dilakukan," katanya.
Ramasamy sebelum ini dituduh mendalangi demonstrasi di luar Hotel Pearl View, tempat konvensyen parti itu di Pulau Pinang pada 11 Disember tahun lalu bagi menentang Rayer dan Tanasekharan.
Kok Wai yang mempengerusikan Jawatankuasa Disiplin pada 12 Mac lalu berkata, tiada bukti secara langsung yang mengaitkan Ramasamy dengan kejadian itu, justeru, beliau dibebaskan.
Sementara itu, Karpal mengumumkan DAP akan melucutkan empat ahli parti itu daripada senarai Ahli Lembaga Pembiayaan Hindu dan Lembaga Rayuan Negeri dalam tempoh terdekat.
Empat ahli parti itu termasuk K. Mangaleswari yang dipercayai dilantik oleh Ramasamy menyertai kedua-dua lembaga berkenaan.
Difahamkan, tiga daripada calon berkenaan merupakan penyokong Ramasamy dan mereka merupakan ahli biasa dalam parti itu.
Menurut Karpal, isu berkenaan telah dibincangkan dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh beliau, Ramasamy, Guan Eng dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini.

/hwa: utusan.com.my | 19/3/12

Tiada ulasan: