24 Mac 2012

Kumpulan Felda tidak berdagang dengan Israel

KUALA LUMPUR 22 Mac – Kumpulan Felda tidak pernah menjalankan sebarang urus dagang dalam bentuk eksport produknya ke Israel seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
Sebaliknya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Kumpulan Felda melalui anak syarikatnya, Felda Marketing Sdn. Bhd. dengan usaha sama IFFCO Sdn. Bhd. (FISB) menghantar produk-produknya ke Palestin.
Bagaimanapun katanya, FISB tiada pilihan lain untuk menghantar produk berkenaan ke Palestin selain menggunakan pelabuhan Israel yang paling hampir dengan Palestin iaitu Pelabuhan Ashdod.
“Bukan menjadi polisi Felda untuk menetapkan pelabuhan import pembeli,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini bagi menjawab tuduhan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa bahawa Felda mengeskport produk ke Israel.
Ahmad berkata, FISB telah memenuhi pesanan pembeli dari Palestin pada tahun lalu dan 2010 dengan penghantaran pada Mac 2010 dan terakhirnya pada 9 Disember tahun lalu dengan jumlah dagangan terlibat bernilai RM30 juta.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memberi permit kepada FISB untuk menjalankan urus niaga itu.
“Jualan produk ini meliputi minyak pukal dan lelemak berdasarkan terma-terma kos, insurans dan pengangkutan,” ujar beliau.
Ahmad turut menjelaskan, IFFCO adalah syarikat multinasional yang pemiliknya adalah orang Islam dari Kumpulan Allana turut menetapkan polisi tidak menjual sebarang produk kepada Israel.
Dalam pada itu, beliau berkata, FISB adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam perniagaan menapis dan membungkus minyak sawit dan produk berasaskan isirung sawit.
Katanya, syarikat berkenaan mempunyai kilang menapis dan membungkus produk berkenaan di Pandamaran di Klang, China, Afrika, Turki, Indonesia, Amerika Syarikat dan pejabat perdagangan di Perancis dan Sepanyol.

/hwa: utusan.com.my | 23/3/12

Tiada ulasan: