24 Mac 2012

PKR tak perlu sokongan masyarakat India?

SUNGAI PETANI 22 Mac - Seorang ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat India di negeri ini apabila menghantar satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan parti itu tidak memerlukan sokongan daripada kaum tersebut.
Wakil rakyat terbabit, Datuk Rashid Din yang merupakan Ahli Parlimen Merbok dikatakan telah menghantar satu SMS berbunyi "Pakatan Rakyat tak berapa harap undi India" kepada Setiausaha Persatuan Penyokong-penyokong Kuil Sri Sitti Vinayagar Sungai Petani, V. Kumaraguru baru-baru ini.
Kumaraguru mendakwa, isu tersebut tercetus selepas dia membuat aduan kepada Rashid melalui SMS berhubung tindakan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) merobohkan sebuah kuil kecil di hadapan rumah seorang penduduk di Taman Patani Jaya di sini pada 18 Mac lalu.
"Saya telah hantar SMS kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan salinan kepada Rashid dan pegawai Menteri Besar serta seorang Ahli Majlis MPSPK pada awal pagi 18 Mac lalu.
"Tujuan saya menghantar SMS itu adalah untuk meminta penjelasan dan menyatakan kekecewaan berhubung tindakan meroboh kuil tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Peniaga itu berkata, tidak lama selepas itu, Rashid telah membalas SMS berkenaan dan menyatakan seolah-olah isu kuil tersebut adalah remeh serta tidak perlu diperbesar-besarkan.
"Saya kemudian berbalas-balas SMS dengan beliau sehingga sampai satu peringkat Rashid telah menghantar SMS berbunyi Pakatan Rakyat tak berapa harap undi India," katanya.
Sementara itu, Rashid tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mencabar Rashid memberi penjelasan berhubung penyebaran SMS itu.
"Sekiranya kenyataan itu tidak benar, beliau harus tampil menafikannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my | 23/3/12

Tiada ulasan: