PULAU PINANG 22 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng disifatkan sebagai
bongkak dan biadab kerana tergamak menjual tapak masjid yang diluluskan
dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pihak pemaju.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, Setiausaha
Agung DAP itu tidak berhak untuk campur tangan dan menyentuh 'harta'
yang dikhaskan untuk orang Islam.
Tegas beliau, tindakan tersebut amat berbahaya kerana ia boleh
menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam khususnya di negeri
ini.
"Sepatutnya tapak tersebut telah dipecah sempadan dan diserahkan
kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan seterusnya diwakafkan
oleh majlis berkenaan. Justeru, kami mendesak Guan Eng supaya
mengembalikan tapak masjid kepada MAIPP.
"Kami mahu beri peringatan kepada Guan Eng supaya tidak mendiamkan
diri atau cuba memutarbelitkan perkara ini," katanya dalam satu
kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Shaik Hussein turut meminta pemimpin Pas menasihati Guan Eng tentang
perbezaan di antara masjid dan surau kerana dimaklumkan pemaju akan
menyediakan surau dan bukannya masjid.
Isu tanah Bayan Mutiara timbul apabila tanah tebus guna seluas 41.6
hektar itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang
(PDC) yang merupakan pemilik tanah berkenaan.
Tanah tersebut kemudiannya dijual kepada pemaju swasta untuk
dibangunkan sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan telah
menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Menurut Shaik Hussein, pelan pembangunan asal Bayan Mutiara
diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 30 Oktober
2006 dengan nombor rujukan JPB/PM/4490(LB)PIN.1.
Katanya, selain kebenaran merancang masjid dan pelbagai jenis rumah,
pelan tersebut turut merangkumi kompleks penjaja, balai polis, pusat
komuniti dan tapak sekolah.
"Tapak sekolah juga perlulah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk dibina sekolah.
"Walaupun pemaju bersetuju membina sekolah tetapi Pemuda UMNO khuatir
pelaksanaannya kelak akan diputar belit dan dibina sekolah antarabangsa
seperti Sekolah Antarabangsa Prince of Wales di Botanica City, Balik
Pulau yang telah menidakkan hak anak-anak miskin tempatan," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga inginkan kepastian daripada Guan Eng
sendiri sama ada pemaju telah disyaratkan untuk membina gerai penjaja di
situ.
Sekiranya ada, kata Shaik Hussein, pemaju perlu membinanya di lokasi
strategik dan bukan terperosok di hujung tapak projek seperti mana
kebiasaan dilakukan oleh pemaju kerana Bayan Mutiara adalah hak rakyat
Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan