KUALA LUMPUR 23 Mac – UMNO akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-66
parti itu pada 1 hingga 13 Mei dengan acara kemuncak berlangsung di
Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Perdana Menteri berkata, pelbagai pengisian sambutan akan diadakan
termasuk majlis bacaan tahlil dan yasin, Anugerah Melayu Terbilang,
Larian Melayu UMNO, Karnival Hari UMNO, pertandingan futsal, konvoi
motosikal dan forum media.
"Majlis Tertinggi (MT) setuju dengan konsep sambutan hari ulang tahun
UMNO ke-66 tahun ini yang jatuh pada tarikh lahir UMNO iaitu 11 Mei.
“Kita rangka sambutan yang menjangkau tempoh lebih lama dan pada 11
Mei ini, kita akan cuba mengisi stadium dengan kehadiran yang agak
ramai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT
UMNO di Menara Dato” Onn di sini, malam tadi.
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata, jumlah terkini anggota parti
itu sehingga 19 Mac lepas ialah 3,340,508 iaitu 1,095,112 daripadanya
terdiri daripada anggota biasa, 1,247,056 (Wanita), 381,012 (Puteri) dan
617,328 (Pemuda). – BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 24/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan