25 Mac 2012

Najib terima 1Malaysia Chopper

KUALA LUMPUR 23 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sebuah motosikal berkuasa besar yang dikenali sebagai 1Malaysia Chopper daripada pembuat motosikal terkenal, Paul Teutul Sr. dari Amerika Syarikat (AS).
Motosikal rekaan khas Teutul Sr., yang juga pengasas Orange County Choppers itu akan ditampilkan dalam dua episod American Chopper: Senior vs. Junior di saluran Discovery Channel di AS pada 30 April dan 7 Mei ini.
Menurut Najib, kemunculan 1Malaysia Chopper merupakan satu pendekatan mempromosi negara ini dan permulaan baik dalam kerjasama di antara Malaysia dan AS untuk menerokai bidang permotoran khususnya motosikal berkuasa besar.
"Terima kasih kepada Discovery Channel kerana memilih Malaysia untuk ditampilkan dalam rancangan mereka.
"Sebagai seorang yang selalu menonton Discovery, saya berharap akan dapat melihat pemandangan biasa yang saya lihat di negara ini termasuk 1Malaysia Chopper," kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas menerima 1Malaysia Chopper bagi pihak Kementerian Pelancongan serta merasmikan pakej pelancongan '5 Mountains Motorcycle Tour' di pekarangan Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan kira-kira 2,000 pemilik motosikal berkuasa besar dari 16 buah negara.
Sementara itu, Teutul Sr. berkata, rekaan motosikal khas berkenaan antara lain menampilkan warna merah, putih, biru dan kuning yang ada pada bendera kebangsaan, logo Tourism Malaysia dan bangunan berkembar Petronas yang menjadi kebanggaan negara.
"Negara ini pula sangat istimewa kerana rakyatnya sangat mesra dan baru tiga hari di sini, kami telah menyaksikan pelbagai acara yang menarik," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 24/3/12

Tiada ulasan: