27 Mac 2012

Saman Nallakaruppan jika berani - Chandra

KUALA LUMPUR 25 Mac - Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera mengheret Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan ke mahkamah agar tuduhan beliau seorang biseksual dapat dibuktikan benar atau sebaliknya.
Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, Anwar hendaklah berbuat demikian sekiranya beliau memiliki keberanian untuk menafikan tuduhan Nallakaruppan.
"Pada pandangan saya, Anwar tidak akan teragak-agak mengemukakan saman terhadap Nallakaruppan jika beliau benar-benar serius ingin mempertahankan nilai moralnya.
"Memandangkan Nallakaruppan tidak mahu memohon maaf, kini terpulang kepada Anwar untuk memfailkan kes saman di mahkamah atau tidak," jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nallakaruppan mencabar Anwar secara terbuka pada sidang akhbar semalam supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya seawal minggu hadapan bagi membolehkan segala bukti yang menyokong dakwaan biseksual itu dapat didedahkan di mahkamah.
Chandra menambah, Nallakaruppan mungkin melontarkan cabaran itu setelah mempunyai bukti mencukupi bagi mempertahankan tuduhannya terhadap Anwar.
"Kalau tidak, sudah tentu Nallakaruppan tidak berani mencabar Anwar agar mengheretnya ke mahkamah secepat mungkin," katanya.
Menurut beliau, keberanian Nallakaruppan semakin bertambah setelah mendapat sokongan padu tiga individu lain iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari dan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali.
"Kita dapat melihat mereka berpegang kepada kebenaran dan sedia mempertahankan kenyataan-kenyataan yang dibuat terhadap Anwar sebelum ini," ujarnya.
Berhubung tindakan Anwar menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM100 juta ekoran penyiaran dakwaan mengenai biseksual, kata Chandra, Penasihat PKR itu dilihat mengamalkan sikap 'pilih bulu' dalam menangani isu tersebut.
Jelas beliau, Anwar mengambil tindakan itu kerana menganggap Utusan Malaysia sebagai musuhnya walaupun tuduhan Nallakaruppan yang mengaitkannya dengan perbuatan biseksual turut disiarkan oleh beberapa blog.
/hwa: utusan.com.my | 26/3/12

Tiada ulasan: