GEORGE TOWN 27 Mac – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mahu
Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi penjelasan segera berhubung dakwaan
kerajaan negeri menjual tapak masjid yang diluluskan dalam pelan
pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pemaju.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, beliau telah
menghantar surat rasmi kepada Guan Eng pada Jumaat lepas bagaimanapun
pihaknya belum menerima sebarang jawapan.
"Salinan surat itu turut dihantar kepada Timbalan Ketua Menteri I,
Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Abdul Malek tetapi
hingga hari ini tiada sesiapapun daripada mereka menjawab surat
berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Isu tanah Bayan Mutiara timbul apabila tanah tebus guna seluas 41.6
hektar itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang
(PDC) yang merupakan pemilik tanah berkenaan.
Tanah berkenaan kemudiannya dijual kepada pemaju swasta untuk
dibangunkan sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan telah
menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Mohd Yussuff yang juga Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid
Pulau Pinang berkata, pihaknya hanya mahukan jawapan dan penjelasan
daripada kerajaan negeri bagi memastikan dakwaan itu sama ada benar atau
sebaliknya.
"Rakyat negeri ini nak tahu adakah dakwaan itu benar dan jika hanya
tuduhan, mereka (kerajaan negeri) perlu tampil beri penjelasan,”
katanya. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan