29 Mac 2012

Pertelagahan dalam Pas terus berlaku

KOTA BHARU 27 Mac - Pendirian Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang tidak bersetuju dengan urus niaga bersama kaum Yahudi, menunjukkan pertelagahan terus berlaku dalam kepimpinan parti pembangkang itu.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, pertelagahan itu ibarat 'retak menunggu belah' dan diharap akan membawa kepada penyatuan umat Islam di negara ini.
Menurutnya, kenyataan Nasrudin yang dilihat bercanggah dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membuktikan umat Islam di negara ini benar-benar mematuhi perintah Allah dalam soal hubungan dengan Yahudi.
Justeru, beliau meminta ahli Pas sama ada yang menyokong Nasrudin mahu pun Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi, supaya tidak mempertikaikan soal kerjasama dengan Yahudi itu kerana ia merupakan perkara kecil.
"Perkara lebih besar di hadapan kita ialah soal penyatuan umat Islam dan kestabilan politik negara.
"Kalau benar apa yang dikatakan oleh Ketua Pemuda Pas itu, maka sama-samalah kita mengutamakan kepentingan negara, jangan sampai kita mempertikaikan perkara muamalah.
"Ini kerana ada orang Pas kata boleh berurus niaga dengan Yahudi dan ada yang kata tidak boleh sehingga mengabaikan kepentingan asasi dalam masyarakat dan negara Islam iaitu menjaga agama, keselamatan dan keamanan, kecergasan minda, keturunan bangsa dan ekonomi negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai kenyataan Nasrudin dalam entri tidak bertarikh bertajuk 'Muamalah Dengan Yahudi' di blog Episod Sebuah Perjuangan di http://www.eperjuangan.com.
Dalam laporan itu, Nasrudin antara lain menyatakan adalah haram untuk berurus niaga dengan Yahudi tanpa mengira fahaman yang mereka anuti, termasuk Zionis.
Kenyataan beliau itu dilihat agak mengejutkan ketika Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi baru-baru ini secara terbuka menyatakan adalah tidak salah atau tidak haram untuk orang Islam berurus niaga dengan Yahudi selagi Yahudi tersebut tidak mempunyai agenda jahat atau berpegang dengan ideologi Zionis.
Mengulas lanjut kenyataan Nasrudin itu, Mohd. Noor yang juga Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan berkata, rakyat harus menilai perbezaan pendapat para pemimpin Pas dalam sesuatu isu, termasuk soal kerjasama dengan Yahudi.
"Saya minta masyarakat ambil perhatian dan menilai kerana perselisihan pendapat bukan sahaja antara pemimpin Pas dengan golongan ulama, tetapi juga sesama pemimpin Pas sendiri," katanya.
 /HWA: utusan.com.my | 28/3/12

Tiada ulasan: