29 Mac 2012

Azmin enggan ulas cabaran Hasan

KUALA LUMPUR 27 Mac - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang sebelum ini lantang mengkritik serta mempersoalkan setiap tindakan kerajaan serta pemimpin Barisan Naional (BN) hanya mampu terdiam terhadap cabaran yang dilontarkan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berhubung sumber kewangannya ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994.
Beliau yang enggan mengulas cabaran tersebut sebaliknya terus mempersoalkan kos pengubahsuaian pejabat Hasan.
"Apa yang saya persoalkan adalah berdasarkan laporan audit, fakta dan juga angka. Beliau harus menjelaskannya tetapi tidak sangka pula akan memberi reaksi sedemikian," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Azmin mengulas cabaran Hasan yang mahu penjelasan mengenai butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.
Ahli Parlimen Gombak itu diminta segera berbuat demikian memandangkan wujud keraguan untuk seorang pegawai kerajaan biasa memiliki saham bernilai jutaan ringgit.
Dalam pada itu, Azmin yang tidak mengiya atau menafikan dakwaan Hasan itu terus mempersoalkan niat sebenar Pengerusi Jalur Tiga (Jati) tersebut.
"Sepatutnya beliau (Hasan) menegur dan menasihati supaya menghentikan tuduhan berbaur politik dan hentikan fitnah kerana ia merupakan peranan sebenar orang yang memperjuangkan Islam dan Melayu.
"Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau seolah-olah mempromosikan budaya politik seperti ini dan ia mengejutkan saya," katanya.
/HWA: utusan.com.my " 28/3/12

Tiada ulasan: