29 Mac 2012

Silap hantar SMS, ADUN BN keluar Dewan

SHAH ALAM 27 Mac - Gara-gara Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim tersilap menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar daripada persidangan dewan itu.
Tindakan itu diambil sebagai tanda protes selepas mereka mendapati SMS berkenaan mengandungi permintaan Chang Khim agar semua Exco menggunakan peluang sepenuhnya pada sesi perbahasan untuk menyatakan kejayaan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam mentadbir negeri itu dalam tempoh empat tahun ini.
SMS yang dihantar oleh Chang Khim kepada semua Exco itu 'bocor' apabila ia turut dihantar kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali.
Ia didedahkan oleh Datuk Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) yang seterusnya mencetuskan rasa tidak puas hati ADUN BN kerana mereka menganggap Chang Kim tidak adil dan berat sebelah.
Bercakap kepada pemberita di luar dewan, Mohd. Shamsudin berkata, tindakan Chang Kim dilihat tidak wajar kerana dalam mengendalikan sidang DUN, beliau sepatutnya bersikap bebas dan tidak memihak pada mana-mana parti.
''Berdasarkan SMS itu, kita dapati Speaker tidak bebas, tidak adil dan sentiasa memantau tindakan Exco kerajaan negeri. Jika sikap ini yang diamalkan, bagaimana Speaker boleh mengendalikan sidang DUN," katanya.
Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus turut menyifatkan tindakan Chang Khim itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana sidang DUN Selangor sebelum ini.
Katanya, Speaker DUN tidak boleh menghantar SMS sedemikian.
''Dalam hal ini, Speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota Exco supaya menjawab tentang kebaikan pemerintahan pakatan pembangkang," katanya.
Dalam pada itu, Chang Khim ketika ditemui menafikan beliau berat sebelah apabila menghantar SMS berkenaan.
Sebaliknya, beliau memberi alasan tindakan itu adalah untuk memberi peringatan agar menggunakan peluang membahaskan sesuatu isu seperti mana yang dilakukan oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari.
/HWA: utusan.com.my | 28/3/12

Tiada ulasan: