
MOHD. Puad Zarkashi (dua dari
kanan) menyampaikan sagu hati khas kepada salah seorang bekas polis
zaman darurat, Supian Arjo sambil diperhatikan Din Ahmad (kanan) di Batu
Pahat, semalam.
BATU PAHAT 13 April - Tindakan pemimpin pembangkang yang didakwa
berkelakuan biadab kerana mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan
raja-raja Melayu wajar dibangkitkan di Parlimen supaya tindakan itu
tidak diulangi mana-mana pihak.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan
seperti yang didakwa itu boleh disifatkan sebagai berunsur hasutan
supaya orang ramai terikut-ikut menghina Yang di-Pertuan Agong dan
raja-raja Melayu.
"Kebetulan pada Isnin ini akan dibahaskan satu rang undang-undang
baru mengenai kesalahan keselamatan yang mana salah satu kesalahan yang
ditekankan adalah mengenai membangkitkan rasa tidak setia kepada Yang
di-Pertuan Agong.
"Ketika perbahasan nanti bolehlah Ahli Parlimen membangkitkan
tindakan kurang ajar pembangkang ini kerana ia menggalakkan orang lain
tidak setia kepada baginda," katanya selepas menyampaikan sumbangan sagu
hati khas kepada bekas polis zaman darurat peringkat daerah di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.
Seramai 64 daripada 1,053 bekas polis dan wakil mereka menerima sumbangan RM3,000 setiap seorang.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad.
Menurutnya, tindakan kurang ajar pembangkang itu bertentangan dengan
sikap seorang pemimpin, sedangkan mereka sewajarnya berasa bertuah
kerana dijemput ke istiadat pertabalan tersebut.
"Mereka (pembangkang) sering mempertikaikan Parlimen kita sebagai
tidak bertaraf dunia apabila tidak dapat melakukan apa yang mereka suka.
Sedangkan mereka menunjukkan sikap biadab kepada raja-raja Melayu,"
katanya.
Pada masa sama, Mohd. Puad berkata, beliau yakin dakwaan itu berasas
kerana Dr. Rahman Kadir yang mendedahkan perkara tersebut tidak
berselindung dan berani menggunakan nama sebenar.
/HWA: utusan.com.my | 14/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan