25 April 2012

Demonstrasi untuk pilihan raya!

Jika anda tidak puas hati tentang apa sahaja terhadap kerajaan negeri, salurkan kepada Jawatankuasa Mobiliasi Badan Perhubungan Pas Terengganu.
Anda mungkin seorang mahasiswa bersama beberapa rakan yang ditarik balik pinjaman atau biasiswa kerajaan kerana melanggar perjanjian yang ditandatangani dengan penuh kefahaman.
Perjanjian yang mengikat anda agar memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, sedangkan anda cukup seronok kalau dibiarkan sesuka hati 'bermain' politik.
Atau tanah anda dan bukannya tanah orang lain yang terpaksa diambil balik untuk pembinaan jambatan atau laluan lebuh raya untuk kemudahan awam biarpun awalnya anda bersetuju melihatkan kadar imbuhan.
Mungkin juga tanah haram yang anda teroka atau tanah tol yang telah anda cop sebagai tanah pusaka akan dibangunkan projek perumahan atau tapak perusahaan biarpun anda dijanjikan tempat tinggal dan pampasan setimpal.
Atau mungkin anda merasa benci kerana parti yang anda dokong dengan 'kemah keming' dikatakan sesat oleh pimpinan negeri sedangkan anda sudah tercium haruman syurga kerana pahala yang dijanji.
Ya, apa sahaja dan pada musim ini jawatankuasa tersebut tentunya bersedia malah amat mengharapkan dapat memperjuangkan 'nasib malang' atau runtunan emosi anda yang membuak-buak.
Sejajar dengan namanya, jawatankuasa ini yang dipimpin oleh Satiful Bhari Mamat akan menggerakkan seluruh badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah parti itu untuk membela rakyat.
NGO seperti GEMPUR, GEMPAR, ANAK, WARIS adalah sebahagian daripada NGO yang dianggap bersimpati dan dikatakan kewujudannya bagi membela rakyat.
Mereka akan membela anda secara berkelompok dengan berkumpul di jalanan, membawa sepanduk dan melaung-laungkan kecaman sambil bertakbir dan digamatkan lagi dengan ucapan lantang dan garang melalui pembesar suara.
Mungkin juga memorandum akan diserahkan dan anda akan dianggap sebagai mangsa kekejaman, kezaliman, penindasan, ketamakan, kerakusan kerajaan dan pucuk pimpinan.
Semua ini akan diratibkan pada ambang pilihan raya dan di bandar raya Kuala Terengganu ini ia sudah bermula minggu lalu, cukup untuk rakaman blog-blog dan YouTube untuk mensensasikan keadaan.
Namun keadaan di sini belum cukup hingar-bingarnya apabila ia berlalu begitu sahaja dan terbaru pada 24 April (hari ini) apabila Satiful menjanjikan tunjuk perasaan besar- besaran.
"Kita belajar dari demonstrasi yang dianjurkan oleh UMNO ketika menentang Malayan Union... Kenapa sekarang Pas buat tak boleh? Tidakkah UMNO yang ajar?" ujar Satiful.
Itu jawapan mudah Pas menyamakan tindakan yang akan mereka ambil dengan tunjuk perasaan orang Melayu yang menuntut merdeka.
''Kejatuhan UMNO-BN adalah sebagai jawapan yang paling tepat untuk menyelesaikan permasalahan ini," ujar Satiful yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 1.
Nampak segalanya menjurus ke arah pilihan raya dan demonstrasi mungkin dilihat menjadi jalan pantas untuk memenangi hati rakyat dan mencapai hak berkuasa.
Seorang kenalan berkata, silapnya kerajaan negeri adalah kerana merangka terlalu banyak perancangan untuk dilaksanakan kerana mudah dicari salah dan cela.
Dengan merujuk kepada negeri jiran katanya, tidak berbuat apa-apa maka tiada kegagalan dan kepincangan dapat disenaraikan dengan nyata untuk dijaja.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12

Tiada ulasan: