25 April 2012

Siapa seterusnya mangsa Arab Spring

Satu persatu pemimpin Arab tumbang di tangan rakyatnya sendiri yang memberontak menentang pemerintahan mereka dalam kebangkitan rakyat di dunia Arab.
Ia bermula dengan kejatuhan Presiden Zine el Abidine Ben Ali dari Tunisia dalam satu revolusi rakyat pada 2011 yang mencetuskan kebangkitan rakyat di dunia Arab yang dikenali sebagai Arab Spring, diikuti Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, yang terbunuh di tangan rakyatnya sendiri.
Mungkin yang bernasib baik sedikit ialah Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh yang akhirnya ‘tunduk’ kepada tuntutan rakyatnya supaya berundur. Sekurang-kurangnya Ali Abdullah, terselamat daripada dihakimi oleh rakyatnya sendiri.
Kini, semua ‘mata’ menghala kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad yang terus ‘bertarung’ dengan rakyatnya sendiri demi menyelamatkan pemerintahannya yang diwarisi daripada bapanya Hafez al-Assad.
Namun, kedudukan Bashar dilihat semakin genting dengan pemberontakan terus merebak termasuk ramai tentera Syria berpaling tadah menyertai kumpulan pemberontak. Setakat ini, lebih 6,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dengan tentera rejim Bashar.
Apakah Bashar dapat bertahan atau menerima nasib serupa dengan pemimpin Arab lain seperti Mubarak dan Gaddafi. Apa yang menarik ialah timbul beberapa persoalan di sebalik kebangkitan itu, termasuk apakah ia tercetus secara kebetulan atau ia dirancang oleh pihak-pihak tertentu.
Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin Arab yang disingkirkan itu terdiri daripada mereka yang berpengaruh di dunia Arab seperti Mubarak dan Gaddafi yang sebelum ini lantang menentang Barat.
Begitu juga dengan Ali Abdullah Saleh, walaupun bukan seorang pemimpin yang begitu dikenali di peringkat antarabangsa, tetapi Yemen giat memerangi rangkaian al-Qaeda yang menjadikan Yemen sebagai pusat mereka di Asia Barat.
Maka timbul persoalan apakah kebangkitan itu dirancang oleh al-Qaeda?
Begitu juga dengan Zine el Abidine Ben Ali, walaupun bukan seorang tokoh Arab yang begitu menonjol namun, Tunisia pernah menjadi ibu pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan tempat buangan bagi bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dari 1982 hingga 1994, selepas PLO disingkirkan dari bumi Lebanon dalam perang saudara antara PLO dan puak-puak bersenjata di Lebanon.
Maka timbul pula dakwaan ia dirancang oleh rejim Zionis, yang mahu membendung pengaruh Palestin dan melihat dunia Arab kucar-kacir demi survival Israel. Lebih-lebih lagi Tunisia terutama Zine el Abidine mempunyai hubungan rapat dengan Arab Saudi.
Persoalan itu timbul, memandangkan Arab Spring dirancang dengan begitu baik bermula dengan tunjuk perasaan selain menggunakan sepenuhnya segala kemudahan teknologi maklumat dan Internet termasuk telefon pintar seperti Blacberry dan laman sembang sosial seperti Twitter dan Facebook sebagai medium bagi menyebarkan maklumat dan mempengaruhi rakyat bangkit menentang pemimpin mereka.
Jika semua itu merupakan satu perancangan, maka siapakah pemimpin Arab seterusnya yang akan menjadi mangsa, jika ditakdirkan Bashar tumbang memandangkan beliau merupakan sekutu kuat Iran yang kini menjadi sasaran Israel, AS dan Barat.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12

Tiada ulasan: