IPOH 5 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir
menasihatkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya berhenti
memalukan diri sendiri dengan mempertahankan projek pengedaran bijih
besi syarikat Vale International (Vale) di Teluk Rubiah.
Menurut beliau, sikap Mohammad Nizar yang masih berdolak-dalik sambil
membangkitkan perkara yang tidak relevan malah lari dari isu pokok
hanya menampakkan kelemahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir
Panjang itu sebagai seorang pemimpin.
"Kini beliau (Mohammad Nizar) mahu bercakap bahawa beliau tidak
pernah luluskan projek ini. Jangan lari daripada isu pokok. Soalnya
ialah, beliau berkali-kali mencabar saya mendedahkan bukti sama ada
pernah bersetuju supaya projek itu dilaksanakan di Teluk Rubiah.
"Jadi saya dedahkan dan surat itu jelas membuktikan beliau bersetuju
malah hendak membantu melicinkan proses penukaran status tanah.
Cukuplah, penafian hanya akan membuat satu persatu siri pembohongannya
terdedah," katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN) Ke-12 di sini hari ini.
Mohammad Nizar semalam mengaku beliau menandatangani satu surat
bertarikh 17 Disember 2008 yang menyokong pembinaan hab pengagihan bijih
besi Vale di Teluk Rubiah semasa menjadi Menteri Besar Perak.
Beliau membuat pengakuan itu setelah Tan Sri Mohamad Tajol Rosli
Mohd. Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) menggunakan Perintah Tetap 23 (C)
meminta Ketua Pembangkang DUN Perak berkenaan menyatakan sama ada surat
tersebut yang dibacakan oleh Zambry sebelum itu benar atau tidak.
Mohammad Nizar dalam sidang akhbarnya pagi ini memberitahu, surat
tersebut tidak membuktikan beliau meluluskan projek berkenaan malah
menganggap ia strategi pemasaran untuk menarik pelabur seperti Vale
menanam modal di negeri ini.
Mengulas kenyataan itu, Zambry berkata, beliau tidak menyangka
Mohammad Nizar sebagai seorang bekas Menteri Besar boleh mengeluarkan
kenyataan seumpama itu yang dilihatnya sebagai 'perlakuan orang
terdesak'.
"Surat ini ditulis oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif negeri, ada
siri dan dijilidkan. Anda (pemberita) boleh baca surat itu, jelas beliau
setuju supaya projek diteruskan, kenapa pula timbul surat ini dikatakan
sebagai strategi pemasaran. Logikkah?
"Kini minta pula kita dedah minit-minit mesyuarat. Takkan kita hendak
tunjuk surat-surat dari tahun 2007 sampai sekarang, adakah ini satu
permintaan yang rasional dan bijak? Lagi pula, ini (dedah surat sulit)
bukan amalan kerajaan yang baik. Mereka masih hendak tegakkan benang
basah, nasihat saya cukup-cukuplah," ujarnya.
Ditanya mengenai dakwaan Mohammad Nizar bahawa pihaknya sudah
mencadangkan supaya projek itu dilaksanakan di Tanjung Hantu dan
bukannya di Teluk Rubiah, Zambry menjelaskan, perkara itu tidak
sepatutnya timbul kerana Vale sendiri yang mencadangkan projek itu
dilaksanakan di Teluk Rubiah.
"Cadangan projek di Teluk Rubiah itu datang dari Vale sendiri dan
jika kita teliti surat tersebut, kerajaan pembangkang ketika itu sudah
pun bersetuju. Jadi pertikaian ini tidak sepatutnya timbul," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan