KUALA LUMPUR 5 April - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Azmin Ali yang terpalit dengan pelbagai dakwaan termasuk kisah
kontroversi isterinya, Shamsidar Taharin bakal berdepan gelombang
penolakan yang lebih besar daripada pemimpin akar umbi PKR selepas ini.
Beberapa bekas pemimpin parti tersebut juga percaya tempias gelombang
penolakan berkenaan akan turut melanda Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana
Ketua Umum PKR itu sendiri berdepan dengan pelbagai masalah moral yang
sehingga kini gagal dijawab secara konkrit.
Bagaimanapun, bekas peguam Anwar yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar
Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, beliau yakin Azmin tidak akan
menjawab segala desakan daripada pemimpin akar umbi PKR, sebaliknya
pihak yang mempersoal perkara itu bakal dipecat.
"Sebenarnya gelombang penolakan terhadap Azmin ini sudah lama berlaku
sebab itu kita lihat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim
bertindak menentang beliau pada pemilihan PKR yang lalu. Zaid berbuat
demikian kerana beliau mendapat sokongan dan mereka yang menyokong
adalah akar umbi.
"Cuma nasib mereka yang berani menentang Azmin akan berakhir dengan
pemecatan kerana itulah demokrasi ala PKR. Azmin anak emas Anwar dan
sesiapa yang berani mencabar, mempertikai atau mendesak beliau secara
terbuka pasti akan dihukum.
"Tapi kali ini desakan dibuat berdasarkan kesedaran ahli akar umbi
mengenai kegagalan Azmin menjawab segala tuduhan ke atasnya. Ini
menimbulkan pelbagai keraguan dan gelombang ini bakal berterusan,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan berani PKR Cabang Ampang, diketuai Ketua
Penerangannya, Mohd. Isa Mohd. Saidi, mendesak Azmin menjawab segala
dakwaan yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR itu atau bertindak
meninggalkan parti jika enggan berbuat demikian.
Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md.
Arip pula mengucapkan tahniah di atas keberanian Mohd. Isa serta meminta
Ketua Penerangan PKR Cabang Ampang itu agar bersedia untuk dilabelkan
sebagai pengkhianat dan tali barut UMNO.
"Ternyata masih ramai pemimpin akar umbi PKR yang cerah hati dalam
menilai moral pemimpin mereka dan saya percaya selepas ini lebih ramai
pihak akan membuat desakan serupa sebagaimana dilakukan Mohd. Isa. Kami
sendiri sudah melakukannya dahulu," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan